Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Oleh kerana terlalu kerap bercakap tentang bekas Perdana Menteri, Lim Kit Siang disaran menjadi Menteri Hal Ehwal Najib.

Datuk Seri Najib Razak menerusi hantarannya di Facebook sebentar tadi berkata, Penasihat DAP yang juga Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu kelihatan obses dengan dirinya apabila setiap hari menyerangnya.

“Setiap hari, Lim Kit Siang akan mengeluarkan sekurang-kurangnya satu kenyataan untuk menyerang saya.

“Di dalam kenyataan terbaru beliau pagi ini, Kit Siang menyeru anak-anak FELDA untuk mencontohi Chef yang ugut nak tampar saya semalam dan dijadikan sebagai idola mereka.

“Nampaknya, uncle ini masih tidak dapat mengawal obsesi dia terhadap saya.

“Saya rasa ianya lebih baik jika Kit Siang terus minta untuk dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Najib,” katanya.

Tambah Najib yang berseloroh, menjadi Menteri Hal Ehwal Najib sekurang-kurangnya Kit Siang dapat meraih elaun dan gaji.

“Bolehlah dapat kereta rasmi, gaji dan elaun Menteri,” sindir beliau lagi.

Kit Siang menerusi ciapan yang ditulisnya di Twitternya sejam yang lalu berkata, anak-anak peneroka Felda sepatutnya mencontohinya Chef Wan, yang semalam ketika berkempen untuk Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands memberitahu mahu menampar Najib.

Kenyataan kontroversi itu dibuat oleh Chef Wan yang mendakwa kecewa dengan Barisan Nasional (BN) yang bertindak merasuah peneroka sebelum pilihan raya yang lalu.

Bagaimanapun pagi ini menerusi akaun Instagramnya, Chef Wan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas Perdana Menteri itu. -MalaysiaGazette