KUALA LUMPUR – Seorang pengguna Facebook membuat laporan polis terhadap selebriti chef terkemuka kerana keceluparannya yang mahu menampar bekas Perdana Menteri.

Khairul Bin Anua menurut seperti nama yang tertera di Facebooknya berkata, dia  terpanggil untuk membuat laporan polis kerana Chef Wan bertindak mengugut Datuk Seri Najib Razak di khalayak ramai, semasa membantu berkempen Pakatan Harapan di Cameron Highlands semalam.

Tambahnya, laporan itu dibuatnya agar polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap Chef Wan kerana mengeluarkan kata-kata nista kepada Najib.

“Merasakan kenyataan chef ini berbentuk satu ugutan kepada mantan Perdana Menteri ke-6 di khalayak ramai. Tujuan saya membuat laporan laporan ini adalah untuk meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas ugutan ini,” tulisnya dalam laporan yang dibuatnya di Balai Polis Pengkalan Chepa.

Semalam, semasa hadir untuk berkempen dan mengadakan demonstrasi masakan di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai, chef itu telah melahirkan rasa kecewa dengan Barisan Nasional (BN) termasuk Najib.

Chef Wan kesal kerana BN memberikan imbuhan sebanyak RM5,000 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 kepada peneroka yang dianggapnya rasuah.

Selain itu, beliau kecewa dengan pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk menerajui Felda.

Tidak puas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan itu, beliau memberitahu mahu menampar Mohd Isa dan Najib.

Namun pagi tadi selebiriti chef itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Najib kerana mengakui kesilapannya mengeluarkan kenyataannya akibat terlalu mengikut perasaan marahnya. -MalaysiaGazette