Nazman Che Ibrahim
Nazman Che Ibrahim

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPK) menunggu dengan penuh kehairanan sebutan kes saman kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri dalam isu ‘Tanah Adat’ Orang Asli Suku Temiar, esok.

Ketua Penerangannya, Nazman Che Ibrahim berkata, dalam saman itu, kerajaan pusat menamakan kerajaan Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima entiti swasta sebagai defendan bagi kes berkenaan.

Katanya, pihaknya menganggap ia satu tindakan pelik yang dilakukan Peguam Negara, Tommy Thomas terutama kenyataannya bahawa tindakan itu adalah bagi memenuhi manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Apa yang cuba dimaksudkan oleh Tommy? Secara ringkas dapat difahami ia membawa makna bahawa tindakan itu adalah bersifat politik semata-mata.

“Sedangkan, beliau sepatutnya tidak boleh kelihatan cenderung kepada mana-mana parti politik. Alang-alang melakukan perkara janggal sebegini, eloklah beliau turut menyaman Kerajaan Persekutuan kerana puluhan lagi manifesto yang ditaburkan sebelum PRU14 masih gagal ditunaikan oleh kerajaan PH.

“Tommy sebagai Peguam Negara sudah pasti teramat arif dalam memahami Perlembagaan Persekutuan, tetapi nampaknya tidak menghormati konsep federalism, malah kelihatan terburu-buru,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Nazman berkata, secara fundamentalnya hal berkaitan tanah adalah di bawah kuasa negeri, ia tidak perlu diperdebatkan.

Malah, katanya, di Kelantan atau mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, tidak wujud Tanah Adat seperti yang dijadikan premis dan asas pendakwaannya.

“Berkali-kali dalam kenyataan Peguam Negara disebut berkaitan Tanah Adat, namun persoalannya adakah wujudkah Tanah Adat di Kelantan?

“Atau beliau merujuk pada adat apa? Adat siapa? Di Kelantan tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli, tidak pernah ada dalam Undang-undang Tanah Kelantan dan tidak pernah diwartakan.

“Hampir semua tanah di Kelantan merupakan Rizab Melayu berdasar Enakmen Rizab Melayu 1930 dan ia lebih awal wujud berbanding Akta Orang Asli 1954,” katanya. – MalaysiaGazette