Tony Pua
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua bercakap pada sidang media khas di Bilik Gerakan Pakatan Harapan Brinchang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 21 JANUARI 2019.

BRINCHANG – Langkah penjimatan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam perbelanjaan projek pembinaan dan pengangkutan awam berskala besar sejak mengambil alih negara sebenarnya memberi impak kepada kawasan luar bandar termasuk Cameron Highlands.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, persepsi sesetengah pihak bahawa langkah penjimatan itu tidak mempunyai kaitan dan memberi manfaat kepada rakyat di Cameron Highlands sebenarnya tidak benar.

“Ini tanggapan yang tak tepat kerana kalau kita tak kurangkan kos projek ini yang cukup besar, kalau kita tak tunda atau batalkan projek besar ini mungkin tak membawa sebarang kesan ekonomi yang positif ataupun diteruskan dengan kos yang terlampau tinggi.

“Wang ini akan menjadi hutang kepada negara dan bila kita ada hutang besar macam, akibatnya kita tak cukup wang untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar.

“Kalau kita tak jimatkan wang dari segi projek gergasi yang kosnya terlampau tinggi, kita takkan ada wang yang mencukupi untuk membangun kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PH Brinchang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengambil langkah drastik dengan mengurangkan kos projek mega termasuk Projek Tren Aliran Transit Massa 2 (MRT 2) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) diturunkan dari RM40 bilion kepada RM32 bilion.

Selain MRT, projek Tren Aliran Transit Ringan (LRT) 3 turut diturunkan kosnya daripada RM31.6 bilion kepada RM16.6 bilion.

“MRT2 jimat RM8.8 bilion, LRT3 jimat RM15 bilion dan HSR antara KualaLumpur-Singapura ditunda selama dua tahun dan ini mendatangkan penjimatan sebanyak RM100 bilion setakat ini,” katanya.

Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara juga berkata, langkah penjimatan itu adalah membuktikan Kerajaan PH lebih baik menguruskan kewangan negara berbanding kerajaan terdahulu.

“Ini adalah bukti bahawa Kerajaan Persekutuan PH adalah jauh lebih baik, jauh lebih berpotensj membangun kawasan-kawasan luar bandar berbanding dengan kerajaan BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette