Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar minta pihak yang mempunyai bukti rakaman video berhubung penyalahgunaan kenderaan jabatan kerajaan untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, membuat laporan polis.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

“Kena buat laporan polis dulu. SPR tiada kuasa siasatan. Macam-macamlah alasan sekarang,” katanya dalam hantaran Twitternya hari ini.

Beliau turut berkongsi hantaran itu dengan Twitter @art_harun, iaitu Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun.

Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ memberi ulasan itu kepada hantaran Twitter penama @sameerkhanlgk yang mengesyorkan SPR mengeluarkan kenyataan berhubung perkara yang berlaku dalam video berkenaan.

KJ secara sindir memuatnaik status itu kerana yakin SPR akan memberi pelbagai alasan berhubung kejadian itu, kerana ia berlaku bagi pihak Pakatan Harapan (PH), bukan daripada calon atau jentera Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette