Kenderaan milik Jabatan Perhutanan Pahang yang didakwa digunakan untuk kempen PRK Cameron Highlands. foto FB Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut Pengarah Jabatan Perhutan Pahang memberi penjelasan kepada umum bagaimana kenderaan rasmi milik jabatan itu digunakan oleh sebuah parti politik untuk menjalankan kempen calon DAP.

Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pertubuhan itu memandang serius sebarang penyalahgunaan kenderaan kerajaan untuk kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

“Kita tidak setuju dengan tindakan itu dan mohon penjelasan daripada Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang bagaimanakah hal sebegini boleh berlaku.

“Perkara ini sedikit sebanyak mencalar kredibiliti pemimpin yang diharapkan untuk menerajui negara, tetapi ia terus menerus dicabul oleh kerakusan pemimpinnya yang taksub dengan kepartiannya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Nasrul Ali Hasan Abdul Latiff
Nasrul Ali Hasan Abdul Latiff

Beliau mengulas satu klik video tular berkenaan penyalahgunaan kenderaan kerajaan untuk kempen khusus Pakatan Harapan (PH).

Menurut Nasrul Ali Hasan, ramai orang awam menghubungi Perkasa untuk mendapatkan pandangan mengenai perlara itu.

Katanya, kenderaan itu jelas milik Jabatan Perhutanan Pahang yang diguna oleh satu kementerian bagi kempen PH dengan meletakkan bendera Malaysia dan parti.

“Persoalannya, bagaimana hal yang sedemikian dibenarkan dengan mudah oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang? Adakah beliau ditekan oleh pihak tertentu agar membenarkannya.

“Jjika benar surat arahan telah dikeluarkan daripada Pejabat Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli bagi menggunakan atas kapasitinya, adakah patut bendera PH digantung dan dipandu oleh orang yang berkemungkinan bukan pemandu kenderaan kerajaan?

“Bagaimana pula jika berlaku sebarang kerosakan, tuntutan minyak dan lain-lain musibah yang barangkali berlaku? Adakah duit rakyat yang membayar cukai untuk kegunaan kerajaan memelihara dan memulihara hutan akan digunakan bagi tujuan pembaikan?” katanya.

Beliau menjelaskan, kecelaruan tindakan dengan membenarkan penggunaan kenderaan kerajaan bagi tujuan tersebut memperlihatkan kelemahan integriti pegawai lantikan kerajaan dalam mengurus tadbir aset yang diletakkan di bawah seliaan mereka.

Ia juga katanya, jelas menunjukkan penyelewengan dan salah guna kuasa pegawai kerajaan yang wajar dijatuhkan hukuman tatatertib ke atas mereka. – MalaysiaGazette