Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berbincang Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berhubung klip video sebuah kereta jabatan digunakan sebagai jentera kerajaan untuk berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, maklumat itu telah diberikan MCW kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, sebelum Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan perkara itu, beliau sudah membaca mengenainya semalam.

“Sebenarnya YB (Khairy), selepas saja saya baca tentang hal ini semalam, saya telah bincang dengan MCW iaitu pemerhati PRK dan maklumat diberikan oleh MCW kepada SPRM.

“Kenyataan media saya akan keluar sebentar lagi,” katanya menerusi hantaran balas dalam Twitternya kepada Khairy Jamaluddin, hari ini.

Khairy menerusi Twitternya tadi, meminta pihak yang mempunyai bukti rakaman video berhubung penyalahgunaan kenderaan jabatan kerajaan untuk kempen PRK Cameron Highlands, membuat laporan polis.

Beliau dilaporkan berkata, SPR tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

“Kena buat laporan polis dulu. SPR tiada kuasa siasatan. Macam-macamlah alasan sekarang,” katanya dalam hantaran Twitternya hari ini.

Beliau turut berkongsi hantaran itu dengan Twitter @art_harun, iaitu Pengerusi SPR, Azhar Azizan atau lebih dikenali sebagai Art Harun. – MalaysiaGazette