Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lembah Pantai mahu polemik yang mempertikaikan langkah pemasyhuran nama Kampung Kerinchi dihentikan.

Ketuanya, Mohd. Alias Ahmad berkata, langkah AMK kawasan itu mengekalkan nama Kampung Kerinchi bukan Bangsar South adalah tepat dalam usaha parti itu memartabatkan maruah bahasa kebangsaan.

Ini juga, katanya, membuktikan PKR menjuarai apa juga isu dalam negara dan konsisten dalam perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu.

“AMK Lembah Pantai menolak sebarang serangan yang ditujukan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi tetamu kehormat majlis pemasyhuran itu.

“Dakwaan bahawa beliau cuma Ahli Parlimen Port Dickson adalah cukup dangkal kerana sejarah perjuangan bahasa Melayu yang panjang oleh Anwar sejak zaman di Universiti Malaya melayakkan beliau sebagai tetamu kehormat majlis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Sabtu lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam majlis pemasyhuran Kampung Kerinchi dan perasmian Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di kampung itu berkata, kawasan yang digelar Bangsar South akan kembali dipanggil dengan nama lamanya Kampung Kerinchi.

Katanya, pihaknya menjemput Anwar sebagai tetamu kehormat kerana pemimpin reformasi itu antara pejuang yang sekian lama mempertahankan bahasa Kebangsaan.

Menurut Alias, Anwar juga adalah tokoh akademik yang diiktiraf dunia di samping peranan sebagai ahli politik antarabangsa sejak zaman mudanya.

“Kita percaya mereka yang menentang usaha ini adalah kelompok pemerintah lama yang berdosa kerana membiarkan nama Kampung Kerinchi dilenyapkan atas alasan pembangunan.

“Justeru, kami bertegas kejayaan ini adalah titik tolak kepada banyak lagi usaha memperkasakan bahasa Kebangsaan dalam aspek yang lebih luas. – MalaysiaGazette