Dr. Abd. Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Mersing ditempelak kerana mendakwa beliau dan lima lagi adalah enam jahanam yang berani kerana keluar UMNO.

Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, tindakan ‘enam jahanam’ yang keluar UMNO ketika parti itu tidak ada kuasa tetapi takut kepada Pakatan Harapan yang sedang berkuasa bukan berani namanya.

Tetapi, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dan lima lagi bekas ahli Parlimen UMNO itu didakwa bertindak keluar parti kerana takut dikenakan sekatan perniagaan dan tindakan undang-undang.

Selain Abdul Latif, lima yang lain ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid; Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Hamzah Zainudin (Larut); Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

“Kalau keluar itu kerana takut kepada PH yang berkuasa terutama takut kepada sekatan perniagaan dan tindakan undang-undang maka itu memang jahanam namanya.

“Kalau jahanam pada diri sendiri tak apalah juga, tapi jangan sampai menjahanamkan perjuangan ABATA (agama, bangsa dan tanahair),” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Khas (Jasa) itu.

Mohd Puad mengulas pendedahan Abdul Latif baru-baru ini hanya kumpulan ahli Parlimen yang digelar ‘enam jahanam’ sahaja yang berani keluar daripada Barisan Nasional untuk menjadi bebas.

Katanya, buat masa sekarang mereka belum ada keinginan untuk menyertai Pakatan Harapan.

Mohd Puad turut menyindir kenyataan Abdul Latif yang mendakwa ‘enam jahanam’ bukan calang-calang orangnya kerana mereka adalah orang lama dan berpengalaman.

Tetapi, dakwa veteran UMNO itu, meskipun mereka bukan calang-calang, namun malang sekali ‘enam jahanam’ itu tidak dialu-alukan untuk menyertai Pakatan Harapan.

“UMNO tidak akan jahanam kerana mereka. Mereka mungkin jahanam kerana Dr. Latif sudah mengaku, ‘Kami adalah 6 jahanam’,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.