Mohamad ketika sesi Dialog bersama rakyat Malaysia yang tinggal di Austria dan Republik Slovak di sini malam tadi.
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi Dialog bersama rakyat Malaysia yang tinggal di Austria dan Republik Slovak di sini malam tadi.
VIENNA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pakatan itu tidak akan terjejas oleh sebarang perbalahan dalam parti tertentu, dan setakat ini gabungan itu yang kini mentadbir negara, berfungsi dengan baik.

“Dalam parti-parti itu sendiri mungkin terdapat pertelingkahan untuk mendapatkan jawatan dan sebagainya tetapi ia tidak menjejaskan gabungan PH. Kami mempunyai empat parti dan satu bukan dalam gabungan tetapi dalam kerajaan (Warisan).

“Keempat-empat parti ini sama kuat dan kami perlu mencapai kata sepakat apabila ingin membuat sebarang keputusan…mungkin terdapat perbezaan tetapi kami boleh menerimanya dan sehingga kini kami berfungsi dengan baik dalam kerajaan,” katanya dalam Sesi Dialog bersama rakyat Malaysia yang tinggal di Austria dan Republik Slovak di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada pakatan itu berdepan perbalahan selepas dipilih menjadi kerajaan sejak Mei tahun lepas.

PH terdiri daripada empat parti iaitu PKR, DAP, Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata tenaga nuklear tidak akan menjadi sumber tenaga bagi Malaysia sehingga pakar dan sains mencari penyelesaian dalam merawat sisa nuklear dan membalikkan proses pengekstrakan radiasi supaya ia tidak menjejaskan kesihatan manusia.

Perdana Menteri berkata sisa yang dijana oleh nuklear adalah berbahaya dan cuba menyingkirkannya adalah satu masalah.

“Kerana sehingga kini, sains tidak berjaya membalikkan proses itu, anda boleh mengaktifkan bahan untuk berfungsi dan mempunyai radiasi (untuk tenaga, tetapi) tidak ada cara untuk membalikkannya.

“Jadi, sehingga itu kita tidak akan menerima loji tenaga nuklear. Tetapi, apabila tiba masanya, ketika mereka (pakar dan sains) mampu merawat sisa nuklear dan ia selamat (untuk manusia) sudah tentu kita akan mempertimbangkan semula…tetapi pada masa ini, tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada Malaysia mempunyai rancangan alternatif untuk kuasa selain sumber tenaga sedia ada di negara itu.

Dr Mahathir berkata pada satu ketika, Malaysia menjual ‘amang’, hasil sampingan daripada industri perlombongan timah kepada Jepun, yang menggunakan kuasa radioaktif produk itu untuk industri televisyen berwarna negara itu.

“Tetapi kini TV semuanya LED dan mereka (Jepun) tidak lagi menggunakan bahan itu. Bahan tersebut berbahaya dan kami mempunyai perdebatan yang panjang dengan syarikat Jepun dan akhirnya kami telah menyediakan tanah seluas satu batu persegi untuk menanam sisa itu,” katanya.

Menjawab mengenai rasuah, Dr Mahathir berkata pada masa ini, kerajaan dilihat bebas rasuah dan tidak ada pihak yang mengatakan bahawa pentadbiran adalah korup.

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa kita akan bebas rasuah pada masa hadapan tetapi pada masa ini orang kata kita tidak korup,” tambahnya.

Kira-kira 100 orang menghadiri sesi dialog itu termasuk para pegawai dari Kedutaan Malaysia.

Duta Besar Malaysia di Austria Datuk Ganeson Sivagurunathan menjadi moderator sesi itu yang mengambil masa kira-kira sejam.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya. Perdana Menteri sedang melakukan lawatan kerja tiga hari ke Austria.

–BERNAMA