maszlee
Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak pernah memotong jumlah Bayaran Bantuan Tambahan Persekolahan (BBTP), kata Dr Maszlee Malik.

Menteri Pendidikan itu berkata demikian dan dalam masa yang sama mendedahkan wujud rungutan daripada guru-guru bahawa BBTP yang digunakan untuk tujuan Kokurikulum, Kertas Ujian Dalaman, Sukan Tahunan dan Kegiatan Pendidikan Islam & Moral masih belum sampai ke sekolah-sekolah sehingga kini.

“Saya mendengar keluhan para guru mengenai Bayaran Bantuan Tambahan Persekolahan (BBTP) yang masih belum turun ke sekolah-sekolah terutama semenjak sesi persekolahan dibuka awal tahun 2019.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan tidak pernah memotong peruntukan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Justeru Maszlee memberi jaminan akan berunding dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi memperincikan isu ini.

“Perkara ini adalah dalam perhatian khas untuk dibawa berunding dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat

“Saya juga suka untuk menegaskan bahawa kebajikan para guru dan anak murid di sekolah adalah prioriti utama pentadbiran saya. Ini adalah untuk memastikan tiada kompromi untuk anak-anak belajar dengan gembira dan para guru mengajar dalam persekitaran yang menyeronokkan,” tambahnya. -MalaysiaGazette