Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon

KUALA LUMPUR – Selepas ditegur oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Rashid Hasnon mendakwa apa yang berlaku adalah salah penganjur.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat itu menafikan beliau mewakili Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada majlis pelancaran Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Enhanced Malaysia International Gateway (EMIIG).

Kehadirannya pada majlis dibangunkan Xiddig Cellular Communicatuions Sdn Bhd itu atas kapasiti sebagai mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya telah hadir ke majlis ini bagi mendengar ucapan perasmian TPM. Saya tidak dijadualkan untuk memberi sebarang ucapan apatah lagi untuk merasmikan majlis tersebut kerana saya dijadualkan ke parlimen bagi menerima kunjungan hormat rombongan Speaker Dewan Rakyat Azad Jammu & Kashmir.

“Setelah majlis bermula, saya dimaklumkan penganjur TPM tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan saya diminta untuk menyampaikan ucapan di majlis tersebut.

“Saya telah diberikan teks ucapan oleh penganjur sebagai pandua dalam ucapan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Mohd. Rashid menggesa penganjur segera bertindak membetulkan keadaa dan sekaligus membersihkan nama saya daripada sebarang kekeliruan.

“Jika penganjur tidak mengeluarkan sebarang penjelasan dan penafian, pihak saya tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/22/penafian-ucapan-timbalan-perdana-menteri-mengenai-em-iig/