KUALA LUMPUR – Budaya dan adat perkahwinan tradisi semakin terhakis dan banyak dipengaruhi unsur luar yang banyak menekankan soal moden dan ringkas sehingga mempengaruhi golongan anak muda hari ini.

Keunikan adat perkahwinan perlu dikekalkan bagi membolehkan generasi muda hari ini dapat melihat sendiri dan menghargai keistimewaannya.

Bukan sahaja adat perkahwinan Melayu yang dekat di hati kita sebaliknya melibatkan pelbagai kaum di Malaysia termasuklah etnik di Sabah dan Sarawak yang jarang sekali ditonjolkan dalam sebuah program.

Terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program bertajuk “Dua Hati Satu Cinta” mulai 5 Januari lalu pada setiap Sabtu, pukul 9.00 pagi di saluran TV Okey (Astro 109), kata RTM dalam satu kenyataan medianya.

Menampilkan hos artis, Marsha Londoh dan Didie Alias dalam 13 episod ia memaparkan perkongsian menarik kepelbagaian budaya dan adat resam perkahwinan masyarakat Malaysia.

Dalam episod pengenalannya rancangan itu telah menyiarkan perkahwinan beramai-ramai kaum Hanian di Biara Dharma Monastery, Kuala Lumpur yang hanya diadakan setahun sekali.

Selain itu, ada juga liputan mengenai perkahwinan masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka yang telah terbentuk melalui asimilasi sejarah tanah air sejak ratusan tahun yang lalu. Ia hasil daripada pertembungan budaya setempat dan kerajaan China.

Didie Alias.. perkahwinan adat Baba Nyonya di Melaka (2)

Sehingga kini masih terdapat adat resam dan cara hidup yang diamalkan oleh sebahagian kecil masyarakat di Melaka.

Masyarakat ini juga masih mengekalkan penggunaan tepak sirih yang diletakkan di atas tilam pengantin, dan dikatakan memohon berkat untuk pengantin.

Seterusnya tentang satu daripada adat perkahwinan masyarakat Hindu, perkongsian adat perkahwinan kaum India Muslim di Malaysia selain adat perkahwinan etnik Merik, di Sarawak.

Hos Dua Hati Satu Cinta… Marsha Londoh

Merik ialah satu kaum yang mendiami Miri Sarawak dan pihak kolonial yang datang ke sini mengambil nama Miri daripada nama kaum ini.

Selain itu, adat perkahwinan Melayu sudah pasti ada dan dipaparkan bagaimana masyarakat ini terdapat adat merisik dan bertunang sebelum perkahwinan selain upacara pernikahan berlangsung dengan diketuai oleh tok kadi dan selepas itu kedua-dua pengantin akan diraikan dalam acara menyarung cincin serta membatalkan air sembahyang.

Ada juga episod melibatkan adat perkahwinan suku kaum yang menjadi peribumi Malaysia iaitu kaum bajau merupakan kaum etnik yang bijak dalam pengendalian atau menunggang kuda.

Adat perkahwinan masyarakat Kenyah di Miri, Sarawak juga dipilih dipertontonkan selain adat perkahwinan etnik Melanau di Bumi Kenyalang pula berkongsi keraian pengantin berasal daripada Melayu Kedayan dan pasangannya daripada kaum Melanau.

Episod berikutnya paparan adat perkahwinan etnik Iranun, satu suku kaum yang mendiami Sabah dan satu daripada alat yang dipentingkan dalam sambutan perkahwinan etnik ini ialah ‘usungan’. Usungan merupakan satu tempat yang diperbuat daripada kayu dan buluh serta kain yang digunakan untuk mengangkat pengantin sebagai tanda meraikan mereka.

Kemudiannya ada juga istiadat perkahwinan orang Minangkabau, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang terkenal dengan amalan Adat Perpatih yang memberikan lebih kuasa dan tanggungjawab menjaga keluarga dan anak-anak termasuk harta benda kepada anak perempuan.

Akhir sekali saksikan perkahwinan antara dua penganut agama iaitu penganut agama Kristian, dan pasangannya beragama Sikh. Kedua-duanya diraikan dalam dua adat yang berbeza. Mereka dinikahkan di gereja mengikut ajaran Kristian.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.- MalaysiaGazette