Datuk Johan Abdul Aziz
Datuk Johan Abdul Aziz

SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz hari ini mengumumkan memberi laluan kepada sahabat dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Katanya, beliau telah bermesyuarat dengan kepimpinan UMNO Bahagian itu dua hari lalu dan menyatakan hasratnya itu untuk tidak bertanding.

“Selepas keputusan itu disuarakan kepada pucuk pimpinan negeri, hari ini UMNO Selangor bermesyuarat dan menyenaraikan enam nama calon untuk dipilih oleh UMNO pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Bersama UMNO dan Pas Selangor di Bangunan UMNO Negeri di sini, hari ini.

Johan memenangi DUN Semenyih pada PRU13, tetapi tewas pada PRU14 kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Bakhtiar Mohd Noor.

Pada PRU itu, beliau mendapat 14,464 undi, manakala Mohd Bakhtiar memperoleh 23,428 undi, calon Pas Mad Shahmour Mad Kosim (6,966) dan calon PSM, S Arutchelvan (1,293 undi).

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini diadakan berikutan kematian Mohd Bakhtiar akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu. – MalaysiaGazette