SPRM buka bilik gerakan sepanjang PRK DUN Semenyih
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Pengurus Kanan Produk sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta hari ini.

Menurut sumber, lelaki yang berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 4.35 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.

Jelas sumber, siasatan awal mendapati suspek telah menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.

Tambah sumber, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek pagi esok di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kata sumber lagi, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes yang sama. Suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Sri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.- MalaysiaGazette