Datuk Mohd Yusri Hassan Basri
Mohd Yusri Hassan Basri

BRINCHANG – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak menolak untuk memanggil seorang timbalan menteri yang didakwa cuba mengganggu calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri bagaimanapun berkata, Menteri Kabinet itu hanya akan dipanggil selepas menerima arahan daripada Timbalan Pendakwaraya bagi membantu siasatan.

“Kita masih menunggu arahan daripada timbalan pendakwaraya untuk meneruskan siasatan.

“Dalam rakaman anggota polis masih bertugas dan kita akan panggil apabila arahan diterima daripada timbalan pendakwaraya untuk meneruskan siasatan,” katanya pada sidang media di pusat mengundi awal di Balai Polis Brinchang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan polis yang dibuat oleh calon BN, Ramli Mohd Nor pada Ahad lalu terhadap seorang anggota polis dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Dalam laporan polis itu, Ramli mendakwa kedua-dua pihak terbabit telah menghentikan kenderaan yang dinaikinya dan pembantu selepas berkempen di sekitar Pos Lenjang dan Pos Titom di sana, kira-kira pukul enam petang, pada Ahad.

Mohd. Yusri juga berkata, sejak 11 hari kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, pihaknya telah menerima 21 laporan berhubung salah laku di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perkara itu kita masih dalam siasatan dan setakat ini dari penamaan calon hingga sekarang telah menerima 21 laporan polis, kita sedang menjalankan siasatan.

“Kita ada merujuk kes ini kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPRM dan kita masih menunggu laporan-laporan daripada pihak terbabit,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengundi parti politik agar keluar lebih awal menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini dan tidak melanggar undang-undang sama ada berkempen mahupun pada hari pengundian.

“Saya harap semua pengundi keluar awal dan yakin mereka dapat mengundi dalam keadaan keselamatan dan terjamin malah kita akan mengawal keselamatan dan laluan trafik lalu lintas.

“Saya nasihatkan kepada semua parti terlibat dengan pengundian supaya memastikan pengundi dan penyokong mereka dapat berhemah mengikut peraturan sedia ada serta bertoleransi dan beretika sama ada berkempan mahupun mengundi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette