Sembilan Raja Melayu akan bermesyuarat esok bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan bersemayam bagi tempoh lima tahun.
Berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, istiadat pertabalan itu menandakan bermulanya secara rasmi pemerintahan lima tahun Sultan Abdullah sebagai ketua negara Malaysia.

KUALA LUMPUR – Sembilan Raja Melayu akan bermesyuarat esok bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan bersemayam bagi tempoh lima tahun.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung di Istana Negara pada 10.30 pagi diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan lepas.

Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kini dipegang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang turut memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baharu selesai.

Menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan itu.

Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses hanya akan selesai selepas baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, majlis akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

— BERNAMA