KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, didorong oleh pengambilan untung dalam saham berwajaran tinggi terpilih dan kaunter kewangan selepas kenaikan baru-baru ini, selaras aliran menurun bursa serantau, kata peniaga.

Pada 9.20 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.82 mata pada 1,688.30, daripada 1,702.12 penutup Selasa selepas dibuka 11.36 mata lebih rendah pada 1,690.76.

Kaunter turun mengatasi naik sebanyak 271 berbanding 93 dengan 194 kaunter tidak berubah manakala 1,342 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Sejumlah 303.41 juta saham bertukar tangan bernilai RM128.43 juta.

Peniaga berkata, kebanyakan saham Asia turun pada sesi dagangan awal hari ini berikutan kebimbangan baharu berhubung rundingan perdagangan Amerika Syarikat dengan China yang sedang berlangsung, apabila White House dilaporkan membatalkan mesyuarat perancangan perdagangan dengan Beijing minggu ini.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank IB Research percaya FBM KLCI akan didagangkan antara 1,690 dan 1,720 mata hari ini, dengan sokongan menurun di 1,658 dan 1,644 mata.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.48, Public Bank susut 32 sen kepada RM24.86, TNB susut 16 sen kepada RM13.54 manakala Petronas Chemicals turun sembilan sen kepada RM8.43.

Bagi saham aktif, Bumi Armada melonjak 1.0 sen kepada 22.5 sen, Sapura Energy memperoleh setengah sen kepada 28.5 sen, manakala Panpages susut setengah sen kepada 26 sen dan Bina Puri susut satu sen kepada 27 sen. – MalaysiaGazette