Pacuan empat roda milik Jabatan Hutan Pahang yang didakwa digunakan untuk berkempen dalam PRK Cameron Highlands.

KUALA LUMPUR – Pemandu Kenderaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang membuat laporan polis bagi mempertahankan tindakannya menyerahkan kenderaan tersebut kepada Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji yang kemudiannya didakwa digunakan untuk berkempen.

Dalam laporan tersebut, pemandu berkenaan memaklumkan beliau telah memberitahu kepada Tengku Zulpuri yang juga Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli bahawa kenderaan tersebut adalah milik Jabatan Perhutanan.

Bagaimanapun, katanya, Tengku Zulpuri telah meminta kunci kenderaan dan menyerahkannya kepada pembantu beliau dengan alasan untuk mengambil peralatan muzik tradisional di kampung bersebelahan yang jaraknya kira-kira 1 kilometer.

Selepas tempoh sejam, menurut beliau, pembantu timbalan menteri itu kembali ke lokasi dan menyerahkan semula kunci kenderaan tersebut sambil memberitahu bahawa kenderaan berkenaan telah ditahan oleh penyokong Barisan Nasional (BN).

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Pahang tarik semula ´kenderaan tular´

ARTIKEL BERKAITAN: Salah kenderaan, Jabatan Hutan Pahang perlu beri penjelasan

Sebelum ini kerajaan Pahang menarik semula kenderaan pacuan empat roda milik yang digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang tular di laman sosial.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak berkata, kenderaan itu sebenarnya dipinjamkan kepada sebuah kementerian bagi kegunaan rasmi seorang Timbalan Menteri.

“Walaubagaimanapun, selepas dilekatkan lambang satu parti, saya telah mengarahkan supaya kenderaan tersebut diambil semula serta-merta,” katanya dalam kenyataan di akaun rasmi Facebooknya baru-baru ini.

Salehuddin berkata penjelasan itu dibuat selepas beliau dihujani pertanyaan oleh netizen mengenai gambar yang tersebar menunjukkan sebuah kenderaan milik kerajaan negeri dilekatkan dengan logo sebuah parti bertanding pada PRK Cameron Highlands.

Gambar tersebut yang tular hari ini, turut mendapat reaksi pemimpin pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara sinis berkata beliau terfikir mahu memandu uji kenderaan tersebut.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian itu menyiasat dakwaan tersebut secara terperinci untuk tindakan lanjut.– MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: 

Video salah guna kenderaan dihantar kepada SPRM – Art Harun