Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran

PETALING JAYA – Had gaji bagi profesional asing mungkin akan dinaikkan kepada RM5,000 berbanding RM3,000 ke atas ketika ini.

Menurut Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, kenaikan had gaji tersebut adalah untuk melindungi pekerja tempatan dan sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji perkara tersebut.

“Apabila had gaji pekerja asing profesional dinaikkan, ia akan memberi lebih banyak ruang kepada pekerja-pekerja tempatan untuk mengisi tempat tersebut,” katanya semasa sidang media selepas melawat Talent Corp. di sini hari ini.

Menurut Kula Segaran, ketika ini hanya kira-kira lima peratus atau 850 pekerja profesional asing yang mempunyai gaji RM3,000 ke atas berbanding 71,000 permit yang diluluskan kepada ekspatriat.

Malah terdapat trend penurunan dari segi pengambilan pekerja profesional asing di bawah kategori tersebut.

Ini jelasnya disebabkan oleh syarat yang lebih ketat yang dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dalam pada itu, Kula Segaran berkata, terdapat 20 peratus peningkatan dari segi permohonan untuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk pulang ke negara ini selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan.

Seramai 480 ahli profesional Malaysia pulang ke negara ini tahun lepas.

TalentCorp mensasarkan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara akan kembali pada tahun ini.

Ketika ini kira-kira sejuta rakyat Malaysia bekerja di seberang laut. -MalaysiaGazette