KUALA LUMPUR – Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi dagangan awal hari ini berikutan sentimen belian bagi mata wang tempatan terjejas oleh penurunan harga minyak global.

Pada 9.06 pagi, ringgit pada paras 4.1340/1390 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1350 semasa urus niaga ditutup semalam.

Peniaga berkata, harga minyak global terus mencatatkan penurunan berikutan kebimbangan dengan kelembapan ekonomi yang dijangka menjejaskan pertumbuhan permintaan terhadap bahan bakar itu, dengan itu memberi kesan terhadap harga tenaga.

“Harga minyak lebih rendah dianggap negatif kepada ringgit kerana ia akan menjejaskan perolehan minyak dan gas negara,” katanya dan menurutnya pada 8.24 pagi, niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat turun 0.5 peratus kepada AS$52.74 setong.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0381/0429 daripada 3.0332/0389 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7757/7806 daripada 3.7724/7780 semalam.

Ringgit juga lebih rendah berbanding pound British pada 5.3548/3629 daripada 5.3335/3404 semasa ditutup semalam dan menyusut berbanding euro kepada 4.6962/7027 daripada 4.6917/6982.  – MalaysiaGazette