Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Mengikut semakan Laporan Ketua Audit Negara 2017, daripada keseluruhan hutang kerajaan negeri Pahang kepada Kerajaan Persekutuan, RM2.2 bilion darinya adalah berkaitan dengan bayaran untuk bekalan air.

Khairy Jamaluddin berkata, hutang itu sama yang telah diselesaikan oleh Kerajaan Pusat untuk Pulau Pinang dahulu semasa negeri berkenaan ditadbir oleh Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan hutang berkaitan bekalan air merupakan sebahagian besar jumlah hutang Pahang kepada Kerajaan Persekutuan dan hutang ini boleh dihapuskan apabila penstrukturan semula syarikat air dilaksanakan dengan memberi pajakan kepada kerajaan.

Sehingga akhir tahun 2018, kerajaan negeri Pahang masih lagi dalam proses rundingan bersama Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan penstrukturan syarikat bekalan air di negeri tersebut.

Sehingga kini, penstrukturan semula ini masih belum lagi dimuktamadkan, jelas Khairy.

Beliau mengulas pendedahan Menteri Kewangan yang mengeluarkan kenyataan media berhubung kedudukan hutang kerajaan negeri Pahang kepada kerajaan Persekutuan.

Mengikut kenyataan Guan Eng, Pahang mmpunyai tunggakan hutang kepada Kerajaan Pusat sebanyak RM3.18 bilion.

Tambah Khairy, Guan Eng juga janganlah buat-buat lupa tentang bagaimana kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinannya pada tahun 2012 turut telah menghapuskan hutang RM655 juta kepada Kerajaan Persekutuan menerusi cara dan kaedah yang sama.

“Apa yang pasti, kenyataan yang dibuat Lim Guan Eng ini adalah jelas bermotifkan politik bersempena kempen PRK Cameron Highlands yang sedang berlangsung ketika ini,” kata Khairy lagi. – MalaysiaGazette