Anthony Loke
Anthony Loke (kiri) dan Khaw Boon Wan mengadakan pertemuan empat mata di Singapura.

SINGAPURA – Singapura telah mencadangkan untuk melanjutkan tempoh penggantungan kawasan terhad di Pasir Gudang dan prosedur baru sistem instrumen pendaratan (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, kata Menteri Pengangkutan negara itu, Khaw Boon Wan.

Khaw mengusulkan cadangan itu kepada rakan sejawatnya, Anthony Loke yang ditemuinya di Singapura untuk ‘perbincangan dari hati ke hati’.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, Khaw berkata, beliau mencadanmgkan kedua-dua buah negara melanjutkan penggantungan itu ‘bagi memberi pegawai kami lebih masa untuk berbincang dalam usaha mencapai keputusan menang-menang’.

“Dia (Loke) akan membawa cadangan saya kepada rakan Kabinetnya,” tambah Khaw seperti dipetik The Straits Times.

Loke dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, mesyuarat dengan Khaw adalah membina dan bermanfaat.

“Kami bersetuju bergerak ke hadapan untuk menyelesaikan isu Lapangan Terbang Seletar dan pihak berkuasa penerbangan awam kedua-dua negara akan terus berbincang aspek teknikal” tulis beliau.

Pertemuan hari ini merupakan pertemuan yang ketiga antara kedua-dua menteri itu selepas perjumpaan di Putrajaya dan Bangkok pada tahun lalu.

Mereka akan bertemu lagi selepas Tahun Baru Cina bagi membincangkan mengenai ruang udara, kata Khaw.

Pertikaian antara Singapura dan Malaysia tercetus apabila republik itu memperkenalkan ILS untuk Lapangan Terbang Seletar.

Malaysia mendakwa sistem itu akan menghalang pembinaan bangunan tinggi di Pasir Gudang, yang terletak di utara lapangan terbang tersebut.

Bagaimanapun Singapura menyatakan sebaliknya.

Malaysia telah mengisytiharkan kawasan terhad di kawasan Pasir Gudang untuk tujuan ketenteraan. – MalaysiaGazette