Basuki Tjahaja Purnama

JAKARTA – Bekas gabenor Jakarta, ‘Ahok’ dibebaskan hari ini, selepas selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan penistaan agama.

Pembebasan Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama (BTP), 53, mendapat liputan meluas media Indonesia, yang antaranya dipetik berkata beliau tidak lagi mahu dikenali sebagai Ahok, sebaliknya kini mahu dikenali sebagai ‘BTP’.

Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly dalam satu kenyataan berkata Ahok dibebaskan hari ini selepas tamat menjalani hukuman penjara dua tahun di Penjara Markas Komando Brigade Mobil.

Ahok didapati bersalah dalam kes penistaan atau penghinaan terhadap agama Islam oleh mahkamah Indonesia pada 9 Mei 2017.

Ahok yang pernah menjadi timbalan gabenor Jakarta (timbalan kepada Joko Widodo) menang pada pemilihan gabenor Jakarta pada November 2014, menggantikan Joko Widodo, yang telah dipilih menjadi Presiden Indonesia ke-7 ketika itu.

Ketika menjalani hukuman penjara, Ahok dilaporkan bercerai dengan isterinya Veronica Tan pada April 2018.

Media Indonesia kini berterusan membuat spekulasi berhubung pembebasan Ahok, termasuk kemungkinan penglibatannya kembali dalam arena politik, selain desas desus mengatakan Ahok akan memeluk agama Islam dan berkahwin dengan seorang anggota polis wanita Muslim.- BERNAMA