KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.

Bank Pusat berkata, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan ekonomi negara yang mampan.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan. MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi

Bagi tahun 2019, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dan penggunaan swasta akan terus disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam guna tenaga dan upah.

Pelaburan swasta akan didorong oleh projek jangka panjang industri berorientasikan eksport dan industri pasaran dalam negeri yang sedang dilaksanakan.

Pertumbuhan aktiviti sektor swasta yang mampan dijangka mengimbangi perbelanjaan awam yang lebih rendah berikutan langkah konsolidasi fiskal oleh Kerajaan.

Sektor luaran dijangka menjadi perlahan berikutan pertumbuhan global yang semakin sederhana dan risiko kepada prospek pertumbuhan cenderung untuk meningkat, terutamanya akibat ketegangan perdagangan yang terus meruncing dan juga kejutan berkaitan komoditi.

“Secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambabh Bank Negara Malaysia, ekonomi dunia terus berkembang dengan guna tenaga di ekonomi negara maju kekal teguh, manakala permintaan dalam negeri di Asia adalah mampan.

Bagaimanapun, momentum pertumbuhan global semakin sederhana memandangkan negara ekonomi utama mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan.

Ketegangan perdagangan mula memberikan impak yang besar terhadap perdagangan dan pelaburan global.

Keadaan kewangan yang semakin ketat dan volatiliti dalam pasaran kewangan yang makin ketara dijangka menjejaskan lagi prospek pertumbuhan.

Faktor khusus di sesebuah negara seperti keadaan politik dan dasar yang semakin tidak menentu serta tahap hutang yang tinggi juga akan menjejaskan prospek pertumbuhan.

Tambahnya, inflasi keseluruhan berpurata 1.0 peratus pada tahun 2018 dan dijangka meningkat secara sederhana pada tahun ini.

Kesan dasar cukai penggunaan terhadap inflasi keseluruhan pada tahun 2019 akan mula luput menjelang akhir tahun tersebut.

Bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada harga minyak global tetapi inflasi asas dijangka dapat dibendung dengan ketiadaan tekanan permintaan yang kukuh.

Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan meskipun mengalami volatiliti akibat perkembangan global dan keadaan monetari dan kewangan domestik kekal teratur dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Sektor kewangan adalah teguh, dengan institusi kewangan beroperasi berlandaskan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.

“Yang penting, asas-asas ekonomi dalam negeri terus mantap, dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kadar pengangguran yang rendah dan lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran.

“Operasi monetari Bank Negara Malaysia akan terus memastikan mudah tunai mencukupi untuk menyokong pasaran wang dan pasaran pertukaran asing serta aktiviti pengantaraan supaya berfungsi dengan teratur,” ujarnya. – MalaysiaGazette