Calon bebas, Wong Seng Yee ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.
LIPIS – Berbaki kurang 48 jam tempoh berkempen, calon Bebas Wong Seng Yee bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru ‘munculkan diri’ turun berkempen bertemu pengundi di Sungai Koyan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Mengakui banyak menghabiskan kempennya di DUN Tanah Rata, Wong, 40, berkata, meskipun tidak meletakkan harapan besar terhadap sokongan pengundi di situ, tetapi yang penting ialah mesej dalam manifestonya dapat disampaikan kepada masyarakat.

Wong yang terkenal dengan jolokan ‘abang topi jerami’, mengakui sudah melawat lebih 90 peratus kawasan pengundi di DUN Tanah Rata.

“Strategi permulaan sudah betul dan mereka kenal Abang Topi, jadi kalau tidak turun di sini saya berasa serba salah dan saya nak kata hai kepada mereka.

“Saya tidak meletakkan harapan besar tetapi hanya ingin menyampaikan mesej kerana dalam politik hendak dapat undi bukan hanya satu hari,” katanya ketika ditemui di pasar pagi Sungai Koyan di sini hari ini.

Beliau diiringi dua pembantu, memulakan kempen di sekitar pasar pagi Sungai Koyan seawal pukul 7.30 pagi dengan bertemu pengundi dan mengedarkan risalah manifestonya.

Sementara itu, ditanya mengenai kehilangan wang deposit sekiranya gagal meraih sebahagian undi, Wong berkata beliau tidak kisah asalkan isu membabitkan golongan petani diberi perhatian sepanjang tempoh kempen.

“Saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan lagipun saya tidak menyasarkan undian besar akan diterima nanti,” katanya.

PRK Cameron Highlands pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Manogaran, Calon BN diwakili Ramli Mohd Nor manakala dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong.

— BERNAMA