Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berucap pada Pentas Pidato Pemuda UMNO PAS sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS  – Umat Islam bukan sahaja diwajibkan memilih pemimpin muslim bahkan mereka perlu melantik wakil rakyat yang mempunyai integriti dan kredibiliti tinggi untuk membawa suara rakyat di Parlimen.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ciri-ciri itu belum tentu ada kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang diangkat dalam kalangan bukan Islam.

“Bukan sahaja calon Islam bertanggungjawab wajib dipilih bahkan integriti (wajib) kerana calon PH yang bukan Islam itu belum tentu ada integiriti.

“Calon BN yang dipilih kali ini begitu teliti. BN dan Pas bincang perkara ini dan kami meletakkan calon ini yang kita lihat seorang yang mempunyai kredibiliti dan integriti tinggi.

“Ini kerana calon BN iaitu Ramli Mohd Nor merupakan seorang bekas pegawai tertinggi dalam pasukan polis,” katanya pada Pidato Pemuda UMNO dan Pas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, di malam tadi.

Hadir sama selaku panel pidato tersebut ialah Ketua Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berucap pada Pentas Pidato Pemuda UMNO PAS sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2019.

Asyraf Wajdi juga berkata, kegagalan kerajaan PH menunaikan segala janji pilihan raya sebelum ini perlu diambil kira oleh pengundi Cameron Highlands kerana ia bukti jelas mereka tidak boleh dipercayai.

“Mereka nak bawa pembangunan, apa yang berlaku di Cameron Highlands adalah jasa daripada kerajaan BN.

“Ini kerana dalam sistem demokrasi, hanya yang menunaikan tanggungjawab walaupun ada kekurangan apa yang baik. Itu yang mempunyai prinsip yang dipegang oleh Pas.

“Kita minta PH ditunjangi dan kotakan janji mereka. Jangan cuba mainkan sentimen kemarahan org Melayu. Kotakan janji yang tidak tertunai. Sebab itu kita penting sekali untuk menangkan BN di kerusi P078.

“Kita nak hantar isyarat jelas bahawa rakyat tidak rela dikencing selamanya.  Orang buta dan orang Felda sendiri tak mahu dikencing,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, pemimpin PH berjanji kepada rakyat tanpa membuat kajian sama ada ia realistik atau andaian semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

“Bila kami tawar kepada rakyat, kami buat kajian. Kelantan tak perlu cerita sebab mereka sudah tunjukkan kejayaan hebat,” katanya.

Beliau turut berkata, Lim Guan Eng sepatutnya membantu semua kerajaan negeri tanpa mengira fahaman politik seperti mana yang diamalkan Kerajaan BN sebelum ini.

“Guan Eng mesti bantu bantu kerajaan negeri untuk memerintah dengan baik, bukan jadi Menteri Kewangan dengan minta hutang dengan kerajaan negeri lain.

“(Sebaliknya) mereka sibuk menyalahkan kerajaan terdahulu. Sana ada kekurangan. Mana ada atas dunia sempurna 100 peratus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette