KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh pada Mac hingga Mei 2019 berdasarkan prestasi Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi bulan rujukan November 2018.

Perubahan bulanan Indeks Pelopor (IP) meningkat pada November 2018, dengan mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus kepada 119.0 mata daripada 118.7 mata pada Oktober 2018.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sumbangan positif adalah daripada Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (0.4%), Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.2%) dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.1%). Perubahan tahunan IP mencatatkan pertumbuhan negatif 1.6 peratus pada bulan rujukan.

Komposit IP disusun untuk memberikan jangkaan arah tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Indeks Serentak (IS) adalah ukuran keadaan ekonomi semasa, menurun sedikit (-0.1%) pada November 2018.

Gaji & Upah Benar di sektor Pembuatan (-0.2%) adalah satu daripada tiga komponen yang mendorong kepada penurunan IS pada bulan rujukan.

Pada masa yang sama, perubahan tahunan IS bertumbuh 3.6 peratus pada November 2018.

Indeks Difusi bagi IP menunjukkan prestasi yang lebih baik pada November 2018 berbanding bulan lepas.

Indeks Difusi bagi IP mencatatkan 71.4 peratus manakala semua komponen Indeks Difusi bagi IS meningkat untuk mencapai 100.0 peratus seperti pada Oktober 2018. – MalaysiaGazette