KUALA LUMPUR – TVAlhijrah yang sepatutnya menjadi saluran sumber ilmu agama Islam didakwa telah disalahgunakan untuk propaganda politik.

Dakwaan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas media sosial televisyen itu memuat naik kata-kata yang tidak sepatutnya.

Hantaran melalui Facebook itu berbunyi: “Pahlawan Bugis sudah menemui pentas sesuai untuk menari dan mengatur langkah. Kepitnya kini lebih kemas rapi tersusun. Dari Perdana Menteri menjadi keyboard warrior. Atau lebih tepat Pahlawan Papan Kekunci Bugis. Najib kini menempa nama sebagai Raja Troll, membangkang kerajaan dengan satiran halus tetapi padu melalui laman sosial”.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, wajarkah stesen televisyen yang berasakan agama dan dibiayai dengan wang rakyat digunakan untuk mengeluarkan perkataan-perkataan berkenaan.

“Masa menulis itu fikirlah balik. Tanpa Najib, ada peluang untuk bekerja di sana atau tidak? Kembalilah kepada matlamat dan fungsi asal,” katanya sambil memberitahu kakitangan AlHijrah jangan lupa kerana beliau yang melancarkan stesen tersebut.

Secara sinis, Najib berkata, kalau hendak menyerangnya, kakitangan AlHijrah boleh minta pindah ke ‘Kementerian Hal Ehwal Najib’ kerana Penasihat DAP, Lim Kit Siang memerlukannya. – MalaysiaGazette