Nathan Sutherland. foto Agensi

ARIZONA – Seorang jururawat lelaki ditahan dan didakwa merogol seorang pesakit kurang upaya hingga melahirkan seorang bayi pada Disember tahun lalu.

Kelahiran bayi pada 29 Disember itu menyebabkan siasatan besar-besaran diadakan dengan mengambil sampel DNA daripada pekerja-pekerja lelaki di kemudahan penjagaan jangka panjang bagi mengenal pasti identiti yang menyebabkan pesakit berkenaan mengandung.

Wanita berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20an, telah menghabiskan masa seumur hidupnya di Pusat Rawatan Hacienda Phoenix sejak tahun 1992 selepas mengalami kecederaan semasa kecil.

Suspek, Nathan Sutherland, 36, didakwa atas tuduhan melakukan serangan seksual dan penderaan seksual.

Sutherland adalah jururawat berlesen dan telah bekerja di situ sejak tahun 2011 dan telah dipecat sejak dia ditahan buat kali pertama.

“Dari saat pertama kali kita menyedari kejadian serangan seksual, kita telah bekerja hampir tanpa henti setiap hari, setiap malam, tujuh hari seminggu cuba menyelesaikan kes ini,” kata Ketua Polis, Jeri Williams dalam sidang akhbar.

Mangsa yang didakwa koma sebelum ini.

Namun, ibu bapanya membantah kenyataan berkenaan memberitahu, wanita itu boleh bertindak balas ke atas bunyi, membuat mimik muka dan boleh menggerakkan anggota badan, kepala dan lehernya.

Kakitangan pusat itu tidak tahu mangsa mengandung sehinggalah dia dimasukkan ke bilik bersalin. – MalaysiaGazette