Datuk Darell Leiking.
Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Qatar telah bermesyuarat untuk meneroka potensi penyertaan negara Timur Tengah itu dalam projek kereta nasional ketiga Malaysia.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Darell Leiking telah mengadakan mesyuarat dua hala itu pada 22 Januari lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat itu menyusul selepas kunjungan kehormat Perdana Menteri Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al- Thani terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Disember lalu

“Objektif utama mesyuarat berkenaan ialah untuk meneroka potensi penyertaan Qatar dalam projek kereta nasional ketiga negara.

“Ia bertujuan untuk memanfaatkan pelaburan Qatar dalam automobil Volkswagen dan Audi yang mana Qatar juga secara positif mengalu-alukan idea itu dan mengulangi keperluannya untuk membincangkan butiran projek pembuatan bersama.

“Darell juga menekankan bahawa Qatar meneliti kemungkinan bekerjasama dengan malaysia dalam sektor automobil lain seperti pelaburan dalam komponen automotif atau pengeluaran kereta elektrik,” sebut kenyataan yang sama.

Justeru Qatar juga telah dimaklumkan mengenai pelancaran model terbaharu Proton X70 dan Perodua Aruz baru baru ini.

Qatar pula mengambil peluang menjelaskan kepada Malaysia terutama pembaharuan pelaburan termasuk kelonggaran pemilikan pelaburan asing yang mana pemilikan asing 100 peratus dibenarkan di Qatar dalam pelbagai sektor ketika ini.

Menurutnya, Qatar menyatakan hasrat bahawa supaya lebih banyak syarikat Malaysia melabur di negara tersebut.

“Qatar menjadi pintu gerbang ke pasaran Timur Tengah dan menganggap Malaysia sebagai batu loncatan untuk pasaran ASEAN.

“Untuk merealisasikannya Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan bersama Qatar Malaysia dijadualkan berlangsung pada 28 dan 29 Mac ini dan Darell juga juga menyatakan potensi memujuk Qatar menjadi rakan dialog di ASEAN,” tegas kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette