Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bersalaman dengan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam ketika hadir di Pusat Daerah Mengundi MIC Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Tidak timbul soal calon Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai lambang kegagalan Orang Asli kerana calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor sendiri menjadi bukti kerajaan dahulu berjaya menjadikan golongan itu mampu mempunyai jawatan dan berpendidikan tinggi.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, langkah BN meletakkan calon dalam kalangan Orang Asli juga selari dengan langkah negara maju yang membuka laluan kepada kaum minoriti menjadi wakil rakyat.

“Saya tak tahu daripada sudut mana dia nyatakan (BN) lambang kegagalan Orang Asli kerana kalau kita lihat Ramli berjawatan dalam PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan mempunyai kelayakan sangat tinggi.

“Tak banyak negara yang memberikan peluang begitu baik kepada etnik-etnik minoriti terutamanya negara-negara yang juara dalam demokrasi.

“Sekarang ini kita menonjolkan Ramli sebagai calon untuk pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, sudah 14 kali kita mengadakan pilihan raya wakil untuk Orang Asli ini di parlimen di negara kita.

“Jadi saya yakin itu satu peluang amat baik masyarakat Orang Asli dan masyarakat Cameron Highlands untuk menghantar mesej mereka ke Parlimen,” katanya pada sidang media selepas mengunjungi Pusat Daerah Mengundi (PDM) MCA di Brinchang hari ini.

Mohamad mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam yang mengatakan calon BN yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis bukan melambangkan satu kejayaan sebaliknya satu kegagalan memperbaiki taraf penduduk Orang Asli selepas enam dekad memerintah.

Kit Siang berkata, Orang Asli sepatutnya mencapai kedudukan lebih tinggi bukan sahaja dalam pasukan polis bahkan di semua jabatan kerajaan. – MalaysiaGazette