Annuar Musa
Annuar Musa

CAMERON HIGHLANDS – Tun Dr. Mahathir Mohamad dipercayai tidak akan berdukacita sekiranya calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengulangi kenyataannya kerana menjangka perkara itu berdasarkan pengakuan Perdana Menteri sebelum ini menyatakan ketidakselesaannya terhadap cara DAP berpolitik.

“Mahathir ada menyebut ketidakselesaan terhadap peranan DAP dalam senario terbaru politik negara.

“Kalau itu penyataan ikhlas yang pernah disampaikan kepada kita dan setakat mana kita kenal Mahathir, apa yang saya katakan ialah Mahathir tidak berdukacita kalau sekiranya calon BN dipilih.

“Saya percaya dia tidak akan berdukacita kalau Ramli dipilih, itu berdasarkan perbualan, percakapan dan falsafah politik Mahathir yang kami kenal sekian lama.

“Saya berani menyatakan itu ada dalam hati kecil Mahathir,” katanya pada sidang media di Tanah Rata hari ini.

Annuar juga berkata, jangkaan itu hampir tepat apabila Mahathir memberi reaksi positif terhadap Ramli ketika ditanya mengenai nasib Orang Asli di negara ini dalam satu wawancara ketika berada di luar negara baru-baru ini.

“Berdasarkan apa yang saya faham, dia tidak akan berdukacita kalau sekiranya Ramli menang. Secara sedar Mahathir memberikan pengiktirafan kepada Ramli dalam temuramahnya di luar negara baru-baru ini.

“Bila menyebut tentang cara Malaysia melayani kemajuan dan pembangunan masyarakat Orang Asli, antara contoh terkeluar daripada mulut Mahathir ialah pengiktirafan kepada calon BN, Ramli.

“Beliau boleh menyebut Ramli dalam bentuk positif, dalam satu wawancara yang tidak bersifat politik,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut berkata, BN tidak teragak-agak meletakkan Ramli sebagai calon BN bukan sahaja kerana lebih berkualiti daripada M.Manogaran bahkan kerana kebimbangan Mahathir terhadap DAP.

“Pilihan raya macam kita bermain bola, kalau kita tak yakin menang, kita tentulah tidak akan lawan.

“Kita berani lawan PH kerana kita yakin kita boleh menang. Kita berani letak calon jauh lebih berkualiti daripada calon PH dan kita berani buat tindakan di luar kotak.

“Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO) dan Presiden MIC dan BN berani membuat satu keputusan yang saya percaya memeranjatkan sesetengah orang.

“Itu menunjukkan komitmen penuh kita dalam pilihan raya ini bahawa kita harus menang dan kita mesti menang,” katanya.

Katanya lagi, dengan mempertaruhkan calon Orang Asli itu, BN optimis untuk memperoleh majoriti undi melangkaui keputusan PRU-14 lalu yang hanya menang tipis.

“Kita minta rakyat memberikan mandat yang sangat besar maknanya, pertama kali ada calon dalam kalangan kaum Semai untuk mewakili Orang Asli. Selama ini mereka mengharapkan ihsan daripada pelantikan dalam Dewan Negara.

“Sekarang mereka berpeluang buat pertama kali melantik secara demokratik seorang daripada keturunan Orang Asli menjadi jurucakap dan pembela mereka dalam Pparlimen melalui pemilihan di kotak undi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette