Aizat Amdan

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aizat Amdan menggesa peminat muzik tanah air agar memberi ruang kepada penyanyi baharu atau yang dilabel sebagai “budak baru nak up” untuk menonjolkan bakat mereka.

Aizat berkata adalah tidak adil kecaman serta kritikan negatif diberikan kepada mereka khususnya oleh para netizen.

“Bagi saya mereka ini mempunyai bakat yang ‘fresh’ serta keistimewaan tersendiri dan perlu diberi pertimbangan oleh semua pihak untuk menerima kehadiran mereka dalam industri muzik.

“Jangan letakkan harapan terlalu tinggi kerana golongan ini memerlukan masa dan ruang untuk belajar menjadi pelapis yang boleh dibanggakan kelak,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu undangan program Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini, hari ini

Antara barisan penyanyi baharu yang dilabel ‘Budak Baru Nak Up’ termasuk Haqiem Rusli, Khai Bahar, Wany Hasrita dan Aiman Tino memerlukan sokongan moral untuk mencipta nama dalam persada muzik tempatan dan bukannya memberi kecaman yang boleh menjejaskan reputasi mereka, katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Hanya Kau Yang Mampu’ itu berkata zaman dilalui muka-muka baharu itu sangat mencabar lebih-lebih lagi dengan kewujudan media sosial yang menyaksikan para netizen bebas memberi sebarang kritikan dan pujian.- BERNAMA