Gambar hiasan

SEJAK 2019, tarikh 5 Oktober telah dijadikan Hari Akademia Malaysia. Tarikh
tersebut didedikasikan buat warga akademik yang bertugas di institusi pendidikan tinggi.

Sempena Hari Akademia ini, eloklah kiranya ahli-ahli akademik melihat peranan dan
cakupan dunia akademia pada masa kini dan akan datang.

Tugas ahli akademik semakin rencam dan pelbagai. Pada suatu ketika, fokus negara
terarah kepada melahirkan para graduan yang dapat memenuhi keperluan negara dalam
segenap sektor pekerjaan. Maka, pengajaran menjadi fokus utama buat kebanyakan universiti di Malaysia.

Namun, tatkala amalan penarafan universiti (university ranking) semakin mendapat
tempat, penyelidikan menjadi salah satu bidang tugas yang mesti juga dijalankan oleh ahli-ahli akademik.

Tugas menyelidik bukanlah baru, namun ia menjadi semakin bernilai dewasa kini
lebih-lebih lagi apabila Malaysia dan dunia menuju ekonomi berpaksi inovasi, yang menuntut penyelidikan yang lebih berimpak kepada masyarakat dan industri, dengan penjanaan peluang pekerjaan baru dalam sektor berteknologi tinggi sejajar dengan era Revolusi Industri 4.0.

Tugas memberi khidmat (servicing) kekal sebagai salah satu tugas utama ahli-ahli
akademik. Ini termasuklah membantu menyelesaikan masalah masyarakat seperti cabaran menjalankan pembelajaran dalam talian, pencemaran sungai, dan kewujudan sisa pepejal yang tidak diurus dengan sistematik.

Kerencaman tugas akademia pada masa kini sebenarnya sudah sedikit sebanyak
tergambar pada zaman terdahulu, khususnya pada era kegemilangan Islam.

Ahli-ahli akademik boleh kembali melihat peranan yang pernah dimainkan oleh ramai
sarjana Islam yang menyinar pada zaman kerajaan Bani Umayyah dan Abbasiah.

Tokoh masyarakat seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Khawarizmi dan Imam Al-
Ghazali sebenarnya memiliki citra seorang ahli akademik.

Insan-insan ulung ini ialah pengkaji bidang seperti perubatan, matematik atau
keagamaan dan bahkan mereka mempunyai kepakaran lebih daripada satu bidang. Mereka
juga pendidik yang mengajar ahli masyarakat untuk menjadi insan soleh dan berilmu.

Malahan juga, mereka menabur budi membangun ummah dengan bersama-sama
pemerintah mentadbir dengan lebih berkesan, baik dengan memberi teguran membina
mahupun cadangan yang bernas untuk pertimbangan pemerintah. Ini hampir kepada tugas membina polisi negara yang turut dijalankan oleh sebahagian ahli akademik masa kini.

Citra yang dimiliki oleh tokoh-tokoh yang disebut mencerminkan kebijaksanaan
mereka sebagai figura awam dan mempunyai ciri-ciri serba boleh. Sama ada mengajar,
menulis, mahupun mengkaji, peranan ahli akademik sememangnya tak lari daripada tugas-tugas ini.

Kerencaman tugas akademia menjanjikan pelbagai peluang untuk diteroka. Baik di
dalam atau luar kampus, peluang yang terhidang seperti bersama-sama merangka polisi untuk pihak kementerian menjanjikan satu pulangan besar kepada pelbagai pihak.

Dengan kebijaksanaan yang dimiliki oleh para ahli akademik juga, mereka dapat
menghubungkan pelbagai tugas ini agar mencipta impak yang lebih ketara.

Sebagai contoh, tugas mengajar dan menyelidik kini bukanlah lagi dua perkara yang
terasing. Semakin ramai ahli akademik dapat menghubungkan dua tugas hakiki ini, seperti membuat penyelidikan dalam kelas yang mereka ajar, yang dapat menentukan kekuatan dan kekurangan yang ada dalam amalan pengajaran mereka serta seterusnya membuat inovasi kepada pengajaran yang lebih memenuhi keperluan pelajar dan berkualiti tinggi.

Kerencaman tugas ahli akademik juga sebenarnya mencipta satu tanggapan bahawa
ahli akademik masih mendapat kepercayaan tinggi daripada banyak pihak dalam memenuhi keperluan masyarakat dan industri yang pelbagai.

Kepercayaan sebegini lahir daripada keyakinan bahawa ahli-ahli akademik memiliki
kepakaran yang diperlukan dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan dan isu yang
berlaku. Tidaklah pelik jika ahli-ahli akademik semakin menjadi sibuk dengan pelbagai tugas lantaran wujudnya rasa percaya dan yakin kepada kewibawaan mereka.

Sungguhpun begitu, kerencaman tugas ahli akademik tidak memungkinkan mereka
membuat segala-gala tugas secara sendirian. Kerjasama pelbagai pihak amat didambakan.

Kerangka dunia akademia baru yang berpaksikan nilai-nilai inklusif dan membina
jaringan kerja yang luas dapat membantu menjayakan hasrat mensejahterakan negara dan rakyat.

Kerangka kerja komprehensif yang menghubungkan akademia dengan pelbagai pihak
seperti kerajaan, masyarakat, industri dan warga global dapat menjanjikan satu impak yang lebih berganda dan membawa pulangan tinggi kepada kemajuan negara dan malahan dunia.

Dunia akademia masa kini dan akan datang melangkaui dinding kampus. Di mana-
mana sahaja ahli-ahli akademik berada, baik di pejabat kerajaan, sawah padi, rumah ibadah, pusat pelupusan sisa, sungai-sungai, mahupun kilang-kilang, di situlah letaknya dunia akademia yang inklusif dan merakyat.

Selamat Hari Akademia buat seluruh ahli akademik di Malaysia.

Muhammad Abd Hadi Bunyamin

 

Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).