David menunjukkan surat perletakkan jawatan sebagai ahli DAP yang diberikan kepada Anthony Loke semalam.

SEBERANG PERAI – Bekas ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15), Ogos ini.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan Bahagian DAP Batu Kawan memaklumkan telah keluar daripada parti yang disertainya sejak 15 tahun lalu berkuatkuasa semalam.

David menegaskan, tindakannya bukan demi kepentingan diri sendiri tetapi untuk memastikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kekal memegang jawatan tertinggi negeri.

“Keputusan keluar parti ini berat dan paling sedih dalam hidup saya namun, pencalonan DAP kali ini menyakitkan hati hingga memerlukan saya korban diri sendiri demi menyelamatkan parti daripada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

David mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di DUN Perai.

“Sehubungan itu, saya akan bertanding sebagai calon bebas dan ‘tagline’ kempen saya ialah ‘Bebaskan Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng’,” katanya pada sidang media di Perai di sini, hari ini.

Terdahulu, David, 47, memaklumkan sudah menyerahkan surat untuk keluar sebagai ahli DAP kepada Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook semalam dan keputusan itu dihormati Ahli Parlimen Seremban berkenaan.

Mengulas lanjut David mendakwa Guan Eng menyenaraikan calon PRN15 yang terdiri dalam kalangan pengikutnya bagi membolehkan beliau kembali berkuasa di Pulau Pinang.

David turut mendakwa Guan Eng sedang mengatur langkah untuk menjatuhkan Kon Yeow pada pemilihan jawatankuasa parti yang dijangka berlangsung awal tahun depan.

“Apa yang dilakukan ini hanya untuk menentang Guan Eng dan selepas ini lebih banyak pendedahan dibuat mengenai beliau khususnya ketika dia menjadi Ketua Menteri.

“Jangan ada yang pertikai kenapa saya bongkar secara umum kerana sebelum ini setiap kongres saya berucap tegur tindakan pemimpin DAP dan kini tiba masanya untuk orang ramai ketahui perkara sama,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat ahli DAP yang akan mengikut jejak langkahnya untuk keluar parti, David berkata, beliau menasihati supaya tidak berbuat demikian.

“Saya ada influence (pengaruh) dalam parti dan saya kata kepada mereka (ahli DAP) jangan keluar parti, tolong Kon Yeow dan tunggu sampai pemilihan jawatankuasa parti.

“Bagaimanapun, selain saya ada beberapa nama besar yang dijangka turut sama mengikut langkah keluar parti,” katanya.

Media semalam melaporkan, Guan Eng menggesa pemimpin DAP yang digugurkan daripada menjadi calon PRN Pulau Pinang supaya terus bersatu menyokong parti itu bagi memastikan negeri tersebut kekal ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Katanya, DAP faham perasaan bekas wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula, tetapi berharap mereka akan menyokong keputusan parti. – MalaysiaGazette