KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 kawasan di Wilayah Gombak akan mengalami gangguan bekalan air mulai 11 hingga 12 Ogos ini susulan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak akan dihentitugas sementara.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), gangguan bekalan air bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan dan penggantian aset-aset kritikal di LRA tersebut.

“LRA Sungai Gombak akan dihentitugas sementara pada 11 Ogos 2020, jam 8.30 pagi untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penggantian aset-aset kritikal di LRA tersebut.

“Pelaksanaan kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di LRA Sungai Gombak ini akan membolehkan loji beroperasi dengan lebih cekap dan memastikan semua peralatan selalu berada dalam keadaan baik,” katanya Air Selangor dalam satu kenyataan hari ini.

Air Selangor juga berkata, gangguan bekalan air berjadual di 20 kawasan di Wilayah Gombak itu akan memakan masa sehingga 25 jam mulai pada 11 Ogos hingga 12 Ogos ini.

Antara 20 kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual itu ialah Batu 8 Jalan Gombak, Batu 9 Jalan Gombak, Batu 10 Jalan Gombak, Taman Permai Jaya Gombak, Kampung Sungai Salak, British Malaysian Institute, Sekolah Al Amin, Sekolah Islam Antarabangsa, Kolej Vokasional Gombak
dan Sekolah Integrasi Gombak.

Turut terjejas ialah Taman Mutiara, Kampung Sungai Cincin, Kampung Tengah Gombak, Kampung Sungai Pusu, Villa Bistari, Desa Gemilang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Apartment UIA, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Hospital JHEOA. – MalaysiaGazette