Putra, satu-satunya parti Melayu yang memperjuangkan kaum Bumiputera dan pribumi.

TANGGAL 31 Ogos 2020, genap 63 tahun Malaya Merdeka yang kini dikenali Negara Malaysia.

Perjuangan nenek moyang kita untuk merdeka mewarisi semangat Mat Kilau, Tok Janggut, Dato Maharaja Lela dan ramai pejuang kemerdekaan termasuk Askar Melayu, guru, alim ulamak dan pelbagai lapisan yang dipelopori oleh Allahyarham Dato Onn Jaafar dan digalas ke garis penamat kejayaan mencapai kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pemasyhuran kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra.

Kemerdekaan Malaya tercapai dengan tidak banyak pertumpahan darah seperti bangsa Indonesia menentang penjajah Belanda.

Semua pihak tentu ingat ukiran sejarah bagaimana Raja-Raja Melayu sedia menyerahkan kuasa dengan menerima Konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berpalimen.

Pengorbanan Raja-Raja Melayu begitu besar sekali, malah Raja-Raja Melayu secara terbuka mempersembahkan tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu kepada bangsanya umat Melayu demi bagi menjaga kelangsungan dan keselamatan umat Melayu selepas Malaya merdeka.

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu ini dipancakkan ibarat Keris Taming Sari bagi melindungi seluruh umat Melayu yang merupakan rakyat baginda Raja-Raja Melayu.

Persetujuan tercapai melalui rundingan yang membawa kepada kemerdekaan yang dikenali sebagai “Kontrak Sosial” yang menjadi asas kepada Perlembagaan Negara iaitu Fasal 2 151, 152 dan 153 serta yang berkaitan.

Ianya kekal termaktub dalam Perlembagaan dan tidak boleh dipinda atau disentuh. Ianya dipersetujui oleh penjajah British dan Raja-Raja Melayu setelah sekitar dua juta pendatang asing di terima menjadi warganegara Malaya.

Maka, secara tidak langsung Malaya menjadi negara berbilang kaum, tapi Islam adalah agama Persekutuan, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu dan Hak Kerakyatan.

Selepas kemerdekaan, berlaku pertumpahan darah Peristiwa 13 Mei 1969 yang membawa kepada lahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menentukan berlakunya keadilan sosial terhadap kaum pribumi terutama pembahagian kekayaan negara.

Kaum pribumi ditetapkan sebanyak 30 peratus walaupun jumlah kaum pribumi hampir 70 peratus. Pengorbanan tolak ansur hak pribumi kepada bangsa asing yang luar biasa.

Pribumi Malaysia tidak tamat

Selepas 63 tahun merdeka, Malaysia membangun dengan pesat dan sepatutnya sudah menjadi negara maju.

Bangunan pencakar langit tumbuh seperti cendawan dan prasaran bertaraf antarabangsa.

Tetapi, kaum pribumi semakin hari semakin terhimpit dan mula menjadi pengemis di bumi sendiri yang sudah merdeka 63 tahun yang lalu.

Golongan B40 yang dikira miskin majoritinya adalah kaum pribumi. Pribumi tidak mampu membeli rumah mampu milik dan tidak sedikit jumlah yang masih kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Keadaan terhimpit pribumi makin ketara akibat kebanjiran pendatang asing yang halal dan haram dikatakan jumlah sudah hampir tujuh juta. Ianya juga sudah mula memberi kesan kepada keselamatan negara.

Akibat amalan rasuah semakin menjadi-jadi, maka negara tidak lagi bersendikan kepada ‘rule of law’ dan peraturan undang-undang boleh dijual beli.

Negara sudah persimpangan jalan. Pribumi ibarat seperti telur di hujung tanduk. Tidak ada siapa yang boleh meramalkan apa akan jadi kepada pribumi Malaysia pada 25 tahun atau 50 tahun akan datang.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengambil sikap tegas sebelum nasi menjadi bubur dan sediakan payung sebelum hujan. Para pemimpin dan parti politik Melayu asyik bertolak ansur demi meraihkan sokongan politik yang boleh menyebabkan menang sorak kampung tergadai.

Maka, Putra parti yang lahir pada 8 Mei 2019, mendesak kerajaan agar menubuhkan segera lima Suruhanjaya Diraja seperti berikut:

  1. Suruhanjaya Diraja Islam Agama Persekutuan
  2. Suruhanjaya Diraja Bahasa Kebangsaan dan Pendidikan Negara
  3. Suruhanjaya Diraja Hak Keistimewaan Orang Melayu/Pribumi
  4. Suruhanjaya Diraja Tanah Rizab Melayu
  5. Suruhanjaya Diraja Pendatang Asing

Tujuan lima suruhanjaya ini bertujuan mengkaji kembali dan membuat pembedahan segera terhadap isi kandungan negara Malaysia terutama Hak Kaum Pribumi yang merupakan kaum majoriti rakyat kaum asal negara Malaysia.

Sosial Kontrak dinodai dan menjadi sekadar retorik para pemimpin. Lain cakap lain buat.

Perbetulkan segera halatuju negara melalui cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja kerana keselamatan rakyat dan negara terletak kepada kesejahteraan hidup kaum majoriti pribumi yang merupakan penduduk asal negara Malaysia.

Kelangsungan keadilan sosial dan pembahagian ekonomi yang adil kepada semua kaum adalah jaminan dan kunci keselamatan rakyat dan negara pada masa akan datang.

Suruhanjaya Diraja ini wajib berpandukan kepada Perjanjian Sosial Kontrak yang membawa kepada kemerdekaan negara.

Ringkas kata, Putra dengan tegas menyatakan sempena Sambutan Kemerdekaan Negara ke 63, jangan pribumi dipijak di bumi sendiri, jika semua ingin selamat, aman dan sejahtera.

Cukup sudah kera di hutan disusukan, manakala anak sendiri kelaparan. Ini bukan tujuan matlamat perjuangan kemerdekaan oleh pejuang merdeka Malaya sebelum 31 Ogos 1957.

Ingat, bumi tanah adalah pemberian Allah dan bumi tanah tidak boleh dibuat oleh manusia. Bila bumi tanah hilang, maka bangsa akan hilang.

Melayu tidak hilang di dunia, tetapi bumi Melayu boleh hilang di dunia.

Demi Melayu pribumi. Merdeka! Merdeka! Merdeka! – MalaysiaGazette

Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali adalah Presiden Parti Putra Malaysia