Pemilik Tum Tailors, Tugimen Mukiar melakukan rutin harian beliau di kedainya yang terletak di Seksyen 9, Bangi. foto SAFWAN MANSOR, 17 JUN 2017
BANGI – Pelbagai kenangan pahit dan manis dilalui seorang tukang jahit terutamanya pada musim perayaan sepanjang lebih 40 tahun menceburi bidang berkenaan.
Itulah luahan Tugimen Mukair, 44, pemilik Tum Tailors di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi ketika berkongsi pengalaman beliau dengan MalaysiaGazette.
Bercerita kepada penulis, Tugimen berkata, kesibukan menjahit tanpa mengira waktu sepanjang Ramadan membuat beliau terpaksa bersengkang mata sehingga malam raya disebabkan menerima tempahan yang banyak daripada pelanggan.
“Dulu masa mula-mula saya ceburi bidang jahitan ini, sampai malam raya saya masih lagi menjahit baju raya kerana menerima tempahan yang banyak. Terlalu seronok menerima tempahan sampaikan tidak sedar sudah sampai malam raya.
“Tapi Alhamdulillah, semua pelanggan saya berjaya mendapatkan tempahan mereka sebelum menyambut Aidilfitri. Saya akan siapkan juga tidak kira masa kerana sudah mengambil tempahan daripada pelanggan.
“Malah ada satu tahun, ada pelanggan yang telefon saya untuk ambil baju tempahan mereka, saya sudah berada di kampung pun masa itu. Untuk puaskan hati pelanggan, saya patah balik ke kedai dan beri baju yang siap itu kepadanya,” katanya.
Pemilik Tum Tailors, Tugimen Mukiar membetulkan tanjak yang dihasilkan beliau di Seksyen 9, Bangi. foto SAFWAN MANSOR, 17 JUN 2017
Melangkah ke premis Tum Tailors, mata penulis disajikan dengan pelbagai jenis fabrik yang dipamerkan khusus untuk pengunjung yang ingin mendapatkan idea fabrik untuk ditempah.
Katanya, ekoran sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, beliau terpaksa menutup tempahan sejak minggu kedua Ramadan disebabkan kekurangan tenaga kerja.
“Tempahan kami sudah tutup. Namun ada juga yang datang merayu untuk kita ambil tempahan mereka semata-mata untuk dipakai di hari raya. Mereka siap bawa kain sendiri dan bertegas mahu kami siapkan baju mereka juga, sampaikan ada yang sanggup bayar lebih,” katanya.
Kenangan paling tidak dapat dilupakan beliau apabila ada dalam kalangan pelanggan yang datang di saat-saat akhir tetap mahukan perkhidmatan beliau.
Segala pujuk rayu digunakan pelanggan itu semata-mata ingin melihat tempahannya dijahit Tum Tailors.
“Ada pelanggan yang tiba-tiba datang nak minta kita buat tempahan mereka, katanya untuk sambut raya. Merayu-rayu untuk kami siapkan baju raya mereka. Jadi kami terpaksa juga ambil tempahan.
“Tapi yang pelik juga, kita terima tempahan di saat-saat akhir namun bila kita telefon mereka, mereka tidak datang ambil tempahan. Itu selalu berlaku tertutamanya pada Aidilfitri. Bila kita telefon tiga hari sebelum raya, dia kata lupa pula untuk ambil,” katanya lagi.
Perkhidmatan yang diberikan merangkumi rekaan baju Melayu tradisonal, dan moden yang kini mendapat tempat di hati masyarakat.
“Setakat ini ada permintaan yang pelik dari pelanggan dalam mengenakan busana tradisional. Ada satu pelanggan mahu kan baju tradisional Melayu tapi potongannya mahu dimodenkan menjadi seakan-akan baju coat moden.
“Agak pening juga saya untuk menerima tempahan itu, namun untuk memuaskan hati pelanggan saya terima juga,” jelas Tugimen. -MalaysiaGazette.