Ketua Pengarah Pilihanraya Parti Islam SeMelaysia (PAS), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bercakap kepada media pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Sasaran 80 kerusi Parlimen yang akan ditandingi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih belum dibincangkan dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kuota kerusi itu hanya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama pimpinan PN.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, 80 penyandang kerusi Parlimen yang disenaraikan parti itu ketika ini merupakan penyandang paling kuat.

“80 penyandang disenaraikan itu masih di peringkat analisa yang mana mereka perlu memenuhi KPI (indeks prestasi utama) jika gagal akan digugurkan namun buat masa ini masih belum ada nama yang digugurkan.

“Kita nak menang pilihan raya ini jadi kita pilih lokasi yang ramai ahli serta cawangan membolehkan kita gerakkan jentera parti.

“Bagaimanapun, sasaran 80 kerusi itu belum dibincangkan kerana kita kena tahu kerusi mana kita nak sebelum dibawa untuk pertimbangan peringkat PN.

“Selain itu, kesepakatan ahli serta sumber kewanagan turut menjadi faktor penentuan kemenangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat bilik media yang disediakan sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah.

Ketika diminta mengulas mengapa hanya 80 kerusi menjadi sasaran Pas berbading 125 kerusi pada PRU-14, Muhamad Sanusi menegaskan, sumber kewangan parti itu terhad selain memerlukan pihaknya memberi tumpuan kepada media baharu dalam menghadapi PRU-15.

“Kalau kita lihat pada PRU-14 pengundi yang terletak 200 kilometer radius dari Lembah Klang bergantung penuh pada media baharu sebagai sumber maklumat, kempen serta faktor mengubah pendirian pengundi.

“Tapi sekarang ini trend itu sudah sampai ke hujung Perlis yang mana memerlukan kita memberi tumpuan lebih kepada media baharu.

“Sumber kewangan kita terhad hanya daripada ahli bukan dari bilionair (jutawan) jadi kita putuskan tak perlu tanding 125 kerusi sebaliknya fokus 80 kerusi sasaran dengan memantapkan lagi jentera media baru,” ujar beliau.

MalaysiGazette sebelum ini melaporkan Pas menyasarkan untuk bertanding 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah tersebut adalah separuh daripada kerusi yang ditandingi pada PRU-14.

Muhammad Sanusi berkata, parti itu hanya akan bertanding di kawasan-kawasan yang boleh dimenangi sahaja. – MalaysiaGazette