Adam Adli Abdul Halim

MELAKA – Calon PKR bagi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim mengakui tidak mudah untuknya mempertahankan kemenangan kerusi berkenaan termasuk faktor kali pertama bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, beliau juga perlu berdepan dengan isu dalam kalangan segelintir ahli parti yang pada ‘resah’ apabila namanya timbul bertanding di kerusi terbabit.

“Ini bukan satu kawasan yang mudah untuk kali pertama masuk ke dalam pilihan raya dan ke Hang Tuah Jaya. Saya anggap ini satu penghormatan yang sangat besar sebab saya tahu kawasan ini macam mana…apa sejarahnya.

“Kita akui dalam media sosial memang ada sedikit sebanyak keresahan dan sebagainya (mengenai calon) tapi itu sebab satu perkara yang memang dibincangkan dalam parti.

“Itu memang sentiasa dibincangkan siapa nak jadi calon dan sebagainya, semua orang ada pendapat, ada pandangan masing- masing (tapi) saya sangat baik dengan Cikgu Rafee (Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya, Mohd. Rafee Ibrahim),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan program walkabout di Pusat Perniagaan Bukit Baru di sini hari ini. Hadir sama, Naib Presiden PKR yang juga calon Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Adam Adli mendekati pengundi pada program walkabout di Pusat Perniagaan Bukit Baru, Melaka hari ini.

Sebelum ini, timbul spekulasi pencalonan Adam Adli kurang disenangi ahli akar umbi parti yang lebih menyokong Mohd Rafee sebagai calon kerusi berkenaan.

Malah sebelum ini, Mohd Rafee turut mengesahkan namanya disenarai sebagai salah seorang calon kerusi terbabit selepas penyandangnya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tewas kepada beliau dalam pemilihan jawatan Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya Mei lalu.

Mengulas lanjut Adam Adli berkata, beliau mempunyai hubungan baik dengan Mohd Rafee yang sangat dihormati sebagai senior dalam parti.

“Malah dalam kalangan Keadilan, Cikgu Rafee adalah antara ketua cabang yang paling saya rapat, saya selalu datang ke cabang untuk buat program,” katanya.

Pada PRU-14, Shamsul Iskandar menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti 8,640 undian sekaligus mempertahankan kerusi berkenaan yang dirampas daripada BN pada PRU-13. – MalaysiaGazette