KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjelaskan air yang dibekalkan selepas insiden pencemaran bau minggu lalu, adalah selamat digunakan untuk kegunaan harian.

Syarikat pengurusan air itu berkata, pengesahan itu dibuat berhubung aduan air berbau yang diterima daripada pengguna.

Sehingga jam 10:00 pagi tadi, pihak kami telah membuat siasatan ke atas 842 kes dari keseluruhan 952 aduan yang diterima dari tempoh 29 September sehingga 3 Oktober 2019.

“Berdasarkan ujian in-situ (ujian pensampelan di tapak), air yang dibekalkan adalah selamat di gunakan dan mematuhi piawaian kualiti air Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kawasan aduan meliputi Aman Putra, Bukit Puchong, Kota Warisan, Putra Impiana, Putra Perdana, Putrajaya Presint 11, Salak Tinggi, Taman Intan Baiduri dan Taman Mawar Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang.

Selain itu, di Petaling melibatkan kawasan Puchong Intan, Puchong Perdana, Puchong Prima, Puchong Utama, Saujana Puchong dan Seri Kembangan.

Aduan juga diterima di kawasan Bangi Seksyen 3,4,5,7,9 bagi Hulu Langat, Saujana Putra di Kuala Langat serta USJ 3, 6, 5, 16.

Dalam pada itu, Air Selangor berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan dan ujian kualiti air bagi baki 110 lagi aduan.

“Pihak kami juga melaksanakan pemeriksaan di sistem-sistem agihan dan kolam-kolam perkhidmatan. Sehingga kini sebanyak sembilan kolam perkhidmatan telah dicuci,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette