Young Syefura Othman

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pempengaruh media sosial, Muhamad Harris Nasril.

Ancaman tersebut dibuat selepas ADUN DAP itu mendakwa Muhamad Harris telah membuat hantaran di Facebook yang dikatakan bersifat memfitnah terhadap beliau.

Young Syefura yang menyampaikan amaran berkenaan dalam ruang komen Facebook Muhamad Harris menggesa pempengaruh media sosial tersebut meminta maaf dan memadam hantaran terbabit.

“Ini adalah tohmahan dan fitnah yang ditujukan kepada saya walaupun kononnya bersembunyi di sebalik cerita rekaan.

“Jelas ia bertujuan jahat untuk mewujudkan persepsi buruk kepada saya.

“Saya minta Harris Nasril minta maaf dan padam posting ini dalam 24 jam atau bersedia untuk tindakan undang-undang,” kata Young Syefura.

Dalam hantaran yang masih lagi belum dipadam, Muhamad Harris mendakwa pada pilihan raya lalu terdapat seorang ahli politik wanita meminta suaminya membuat pinjaman bank sebagai dana untuk berkempen.

Bagaimanapun selepas memenangi pilihan raya, wakil rakyat terbabit bercerai dan berkahwin lain.

Muhamad Harris berkata, bekas suami wanita berkenaan terpaksa menanggung hutang yang telah dibuat secara sendirian.

“Setelah beberapa ketika, suaminya mengalami masalah membayar balik pinjaman tersebut. Ini kerana dia memikirkan isterinya akan bayar semula selepas jadi wakil rakyat, tetapi isterinya enggan berbuat demikian.

“Eh, pinjaman atas nama awak, awak la settlekan!” kata isteri tersebut.

“Pada akhirnya, lelaki tersebut diisytiharkan bankrup oleh bank kerana gagal membayar pinjaman. Wakil rakyat tersebut kemudian bercerai dan berkahwin dengan lelaki lain and live happily ever after,” tulis beliau.

Pempengaruh media sosial tersebut bagaimanapun tidak menyebut nama wakil rakyat berkenaan mahupun parti yang diwakili olehnya.

Dalam hantaran itu Muhamad Harris turut mendakwa kejadian yang ditulisnya berlaku di sebuah planet yang tidak wujud iaitu ‘planet zargus’.

“Saya tak sebut nama ya. Jangan tanya saya siapa dia. Oh, kita buat disclaimer la, karang kena saman pula, tak tulis nama pun boleh kena tau macam kes Jonny Depp.

“Mana ada Amber Heard tulis nama Johnny pada artikel op ed dia kat Washington Post tu. Disclaimer: Cerita ini berlaku di planet zargus,” kata Muhammad Haris.

Dalam satu hantaran yang berlainan, pempengaruh media sosial terbabit menafikan nukilannya membabitkan Young Syefura.

Muhammad Haris menegaskan tulisannya adalah sebuah fiksyen dan tidak melibatkan mana-mana individu.

“Adakah beliau ADUN planet Bumi atau planet zargus? Sekiranya wujud pun planet zargus, saya wajar meminta maaf kepada wakil rakyat di planet berkenaan dan bukannya wakil rakyat di planet bumi.

“Kau tak payah nak sembang bodoh kat sini..bla bla bla” komen Young Syefura (boleh lihat versi panjang di tangkap layar).

“FB saya ni memang la sembang bodoh. Tak bodoh, troll. Tak troll, mendaki gunung, berlari. Nak serius 24 jam bukan di FB Harris Nasril ni,” katanya mempertahankan diri. – MalaysiaGazette