Shatiri Mansor

SHAH ALAM – Shatiri Mansor (Kota Damansara – PH) mencadangkan agar kerajaan Selangor melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,600.

Beliau percaya, pelaksanaan berkenaan akan dapat meraih keyakinan golongan pekerja terhadap kerajaan berkenaan.

“Kalau kita boleh lakukan ini kita dapat jaga golongan pekerja, supaya kadar pengangguran tidak bertambah.

“Saya yakin boleh dilaksanakan, saya harap ini dipertimbangkan kerana golongan pekerja melibatkan melibatkan kakitangan swasta, berkanun dan awam,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Selangor Satu (RS-1) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam masa yang sama, kata Shatiri, gaji minimum RM1,600 akan dapat membantu lebih tiga juta golongan pekerja di Selangor menampung kos sara hidup.

Ia sekaligus mengelak ketidakpuasan hati disalurkan melalui piket dan demonstrasi yang disifatkannya bakal menjejaskan iklim pelaburan negeri tersebut.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan supaya Kerajaan Selangor mengeratkan hubungan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam untuk golongan pekerja di negeri berkenaan mendapat pembelaan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette