Muhammad Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Sekretariat Protes AES (ProtAES) menggesa Kementerian Pengangkutan mengkaji semula pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) secara keseluruhannya.

Timbalan Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kajian itu perlu supaya pelaksanaan sistem berkenaan mencapai objektifnya untuk mengurangkan kemalangan khususnya melibatkan maut di jalan raya tercapai tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, ProtAES konsisten dengan pendiriannya bahawa pelaksanaan AES bukan langkah terbaik mendisiplinkan pengguna jalan raya.

“Malah, pelaksanaan sistem ini sejak awal lagi, iaitu September 2012 mempunyai pelbagai isu dan masalah, sebelum dijenamakan semula oleh menteri, Anthony Loke April 2017.

“Daripada 14 lokasi kamera yang kemudiannya bertambah kepada 21 dan sekarang semakin membiak, isu AES masih tidak ditangani secara holistik.

“Pelaksanaan AES sebelum ini melibatkan perjanjian antara syarikat pengendali terdahulu, Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates (M) Sdn Bhd dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kemudian katanya, pengendalian itu bertukar kepada anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan nilai RM555 juta, sebelum diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan.

Kata Muhammad Faiz, atas hak dan kepentingan terbaru itu, kerajaan seharusnya menggariskan dasar yang lebih menyeluruh dan konkrit bagi menangani kemalangan di jalan raya

“ProtAES berpendapat pendidikan melalui kempen dan iklan mempromosikan langkah keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan sebagai langkah lebih berkesan mengurangkan kemalangan jalan raya.

“Rakyat perlu dididik untuk benar-benar berdisiplin dalam pemanduan serta pentingnya menyelenggara kenderaan dalam keadaan baik.

“Pemanduan laju semata-mata bukan punca kemalangan, tetapi sikap dan disiplin memandu, fokus dan kesegaran dalam memandu dan tidak cuai serta keadaan kenderaan yang baik adalah elemen hubung kait yang penting dalam memastikan pemanduan selamat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan AES awalnya dikatakan hanya melibatkan lokasi kemalangan maut bagi mengurangkan kes itu di jalan raya dan lebuh raya.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang data berkaitan kemalangan melibatkan maut di lokasi pemasangan kamera AES ini diberikan.

“Sekarang, semakin banyak lokasi pemasangan kamera muncul, sedangkan lokasi tersebut tiada dalam senarai kawasan kemalangan maut yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, sistem itu juga mempunyai kesan ke atas kos sara hidup yang dibebankan ke atas rakyat ketika ini, manakala kerajaan pula sedang berusaha keras mengurangkannya.

Maqasid Syariah, katanya, bukan sahaja berpremiskan elemen nyawa, tetapi juga harta dan tidak menepati konsep itu jika pelaksanaan AES menekan hidup rakyat dan meningkatkan kadar keperitan hidup rakyat. – MalaysiaGazette