Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Ahli ekonomi dan tokoh korporat berbeza pandangan mengenai sama ada Bursa Malaysia Bhd perlu membenarkan syarikat senaraian awam untuk menggugurkan pelaporan kewangan suku tahunan dan hanya melaporkan laporan separuh tahun dan tahun penuh.

Ini susulan keputusan oleh Singapore Exchange (SGX) yang tidak lagi memerlukan syarikat untuk melaporkan pendapatan suku tahunan sejajar dengan langkah yang diambil pasaran lain seperti London dan Hong Kong, kerana prosedur itu akan membantu menjimatkan masa dan mengurangkan kos pematuhan.

Perubahan itu yang berkuat kuasa pada 7 Februari 2020, bagaimanapun tidak membabitkan syarikat yang mengalami masalah kewangan atau berdepan isu kawal selia.

Ditanya sama ada pengendali pasaran saham tempatan Bursa Malaysia perlu mengambil langkah yang sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia akan menjadi satu langkah yang baik.

“Tetapi isu utama di sini adalah pendedahan maklumat dan bagi memastikan pelabur membuat keputusan berdasarkan maklumat mengikut data yang ada. Data Kewangan adalah satu daripada maklumat (sumber) relevan yang boleh pada satu tahap agak ketinggalan zaman,” katanya kepada Bernama.

Bursa Malaysia mempunyai 790 syarikat tersenarai di Papan Utama dan 129 syarikat di Pasaran ACE, serta 30 syarikat di Pasaran LEAP (Platform Pemecut Usahawan Utama).

Beliau berkata, pelaporan separuh tahun dan tahun penuh sudah mencukupi kerana ia akan mengurangkan kos kawal selia yang ditanggung syarikat tersenarai dan juga sejajar dengan amalan global.

“Sekiranya berlaku penyusunan korporat yang besar seperti penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama, perubahan kawal selia dalam industri yang mereka beroperasi akan didedahkan kepada pelabur. Jadi semangat pendedahan penuh masih lagi utuh dalam industri,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes dalam ciapan di laman Twitternya turut menyokong langkah yang diambil SGX itu.

“Langkah bijak oleh Singapore Exchange yang menghapuskan laporan pendapatan suku tahunan, membolehkan syarikat merancang untuk jangka masa panjang,” katanya yang turut melahirkan harapan bursa saham ASEAN lain akan mengikut jejak langkah yang sama.

Berlainan pula dengan Pengarah Wazan Capital Izrul Zainal Abidin yang berpendapat Singapura mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk melaksanakan langkah itu tetapi ia mungkin tidak sesuai dengan Malaysia.

Sebagai contoh, sebuah syarikat mungkin berdepan masalah kewangan tetapi pengawal selia seperti Bursa Malaysia dan para pelabur hanya akan mengetahuinya selepas enam bulan atau setahun.

Tetapi dengan laporan suku tahunan, ia boleh diketahui dengan segera, katanya.

Kelewatan seumpama itu bermakna pelabur membuat keputusan pelaburan tidak berdasarkan maklumat kerana mereka tidak mempunyai akses kepada laporan suku tahunan.

Bagaimanapun, beliau mengakui langkah itu akan mengurangkan beban kerja bagi juruaudit dan pengawal selia kerana perkhidmatan mereka hanya akan diperlukan sekali setahun, dan menegaskan bahawa langkah itu hanya bermanfaat bagi syarikat tersenarai.

Ahli ekonomi Datuk Dr Nazri Khan juga turut bersetuju dengan pandangan Izrul itu dan berkata laporan suku tahunan penting terutamanya kepada pelabur.

“Kita ada banyak pegangan saham bagi tempoh kurang daripada enam bulan terutamanya bagi sektor runcit. Masalahnya adalah ia akan memberi beban kepada syarikat dan pematuhan.

“Pada pandangan saya, saya merasakan kita perlu mengikut amalan terbaik iaitu yang ada di Amerika Syarikat (AS), dan pasaran saham AS mengamalkan pelaporan suku tahunan,” katanya.

Ketua Pengarah Eksekutif United Plantation Bhd Datuk Carl Bek-Nielsen berkata, pengumuman suku tahunan masih ada kebaikannya terutamanya sekiranya ia boleh membantu melindungi kepentingan pemegang saham dengan menyediakan laporan adil dan saksama bagi prestasi syarikat masing-masing.

“Saya menyokong sepenuhnya amalan membuat keputusan dengan pandangan objektif jangka panjang kerana keputusan strategik tertentu mengambil masa untuk dicapai.

“Tetapi walaupun saya menyokong langkah membuat keputusan dengan pandangan jangka panjang berbanding jangka pendek, saya ingin menyatakan bahawa syarikat tidak perlu meninggalkan keupayaan untuk membuat keputusan jangka panjang hanya kerana anda perlu membuat pengumuman suku tahunan.

“Buatlah keputusan terbaik dan bertanggungjwablah terhadap keputusan yang telah diambil,” katanya. – MalaysiaGazette