IPOH – Sekitar jam 3 petang ini, bakal Menteri Besar Perak akan mengangkat sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-13 dengan istiadat tersebut berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Ramai yang menjangkakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak bakal dilantik sekali lagi untuk jawatan tersebut.

“Kita akan bergerak ke Istana sekitar jam 1 petang nanti. Ahmad Faizal setakat ini, tunggulah keputusan rasmi dan berita baik itu. Sememangnya ramai gemar dan selesa dengan kepimpinan beliau selama mentadbir Perak,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Petang semalam, Perikatan Nasional Perak yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu telah mengemukakan nama tiga calon menteri besar baharu kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Calon tersebut termasuk Ahmad Faizal, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Selasa lepas Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak setelah Pakatan Harapan (PH) di Perak yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tumbang.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak mendapat sokongan 32 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Beberapa hari lepas juga, ketika Ahmad Faizal menghadap Sultan Nazrin, beliau telah mempersembah mempersembah maklum situasi terkini politik negeri.

Selain daripada itu, Ahmad Faizal juga tidak menolak kemungkinan ada lagi Ahli Dewan Undangan (ADUN) di Perak yang mungkin ‘lompat’ untuk menyertai PN pada masa terdekat ini.

Di Perak, kerajaan negeri memerlukan 39 kerusi bagi membentuk dua pertiga majoriti dan ketika PN sudah mempunyai 35 kerusi.

Sebelum ini Isnin lepas, tiga ADUN Perak telah bertindak meninggalkan parti masing-masing dan menyertai PN.

Mereka terdiri daripada ADUN Tronoh daripada DAP, Paul Yong Choo Kiong, ADUN Titi Serong daripada AMANAH, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam (DAP).

Lagi ADUN Perak ‘lompat’ sertai Perikatan?

Seandainya benar Ahmad Faizal bakal diangkat menjadi Menteri Besar negeri ini sekali lagi, kata sumber ini juga mungkin satu tamparan hebat kepada DAP.

Dua bekas ADUN DAP iaitu Choo Kion atau lebih dikenali sebagai Paul Yong dan Sivasubramaniam mengumumkan keluar parti minggu lepas.

Paul Yong merupakan bekas Bendahari DAP Perak manakala Sivasubramanian pula bekas Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak. –MalaysiaGazette