KUALA LUMPUR – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan menangguhkan kutipan bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh Sahabat AIM untuk tempoh dua minggu bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac ini.

Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz dalam satu kenyataannya berkata, penangguhan dua minggu ini akan memberi kesan langsung kerugian sebanyak RM16 juta yang akan ditanggung oleh AIM.

”Walaupun AIM perlu menanggung sebanyak RM16 juta, namun ia perlu dilakukan kerana kami amat prihatin dan memahami situasi yang dialami oleh Sahabat AIM pada masa kini.

”Kita juga akan menyusun dan mengemaskini semula produk-produk pembiayaan yang sedia ada untuk membantu meringankan kos operasi Sahabat supaya ia dapat disesuaikan dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, AIM juga akan memperkenalkan produk pembiayaan baharu khusus menangani kesan ekonomi akibat wabak Covid-19 ini.

Menurutnya, produk baharu itu, dapat diwujudkan hasil penjimatan daripada pembatalan beberapa program besar AIM yang sepatutnya dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini.

”Kebanyakan Sahabat AIM terlibat dalam menjalankan perniagaan berbentuk makanan, perkhidmatan dan produk-produk berasaskan pelancongan.

”Mereka ini menjalankan perniagaan secara sederhana dan kecil-kecilan. Justeru sebagai badan yang sudah lebih 33 tahun terlibat dalam pembiayaan kredit mikro, kami sangat memahami situasi Sahabat-Sahabat AIM ini.

”Dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini, sebahagian besar Sahabat AIM menerima tempiasnya. Mereka tidak boleh berniaga. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pendapatan dan ia juga akan memberi kesan kepada kemampuan untuk membayar balik pinjaman AIM,” katanya.

Justeru katanya, langkah segera itu dibuat bagai memastikan Sahabat dan warga kerja AIM tidak terjejas teruk malah dapat saling bertolak ansur dan memberi kerjasama dengan baik
dalam saat negara berdepan dengan situasi getir ini.

Satu Pekeliling juga sudah diedarkan untuk semua kakitangan dan Sahabat serta Pengurus Wilayah dan Cawangan masing-masing mengenai langkah-langkah yang akan dilaksanakan.

AIM juga akan menutup semua operasi termasuk menghentikan aktiviti-aktiviti Mesyuarat Pusat yang wajib dihadiri oleh Sahabat pada setiap minggu. Ini bermakna sepanjang 18 Mac hingga 31 Mac 2020 kita tidak akan buat sebarang kutipan bayaran balik pinjaman.

Entiti berkata, hanya akan beroperasi seperti biasa pada 1 April 2020 sebagaimana yang diperintahkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. – MalaysiaGazette