Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mendakwa Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit meningkat kepada RM3.81 bilion pada 31 Julai lalu, penambahbaikan 8.5 kali ganda sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Menteri Kewangan itu berkata, angka itu ternyata berbeza ketika PH mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 9 Mei lalu apabila Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit cuma berjumlah RM450 juta.

Jumlah baki wang Akaun Hasil Yang Disatukan itu susut berbanding RM11.86 bilion setakat 31 Disember 2017.

“Dengan kata lain, baki yang tinggal adalah RM11.86 bilion setakat 31 Disember 2017
dalam Akaun Hasil Disatukan telah merosot kepada RM450 juta setakat 30 April 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sedangkan katanya, wang yang perlu digunakan untuk bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) setakat 31 Mei 2018 adalah RM35.4 bilion.

“Oleh itu, adalah tidak benar Kerajaan Pakatan Harapan telah menyalahgunakan
dana Kumpulan Wang Disatukan yang diwarisi daripada Kerajaan Barisan Nasional
seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Guan Eng berkata, kedudukan kewangan di dalam Kumpulan Wang Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April 2018 pula adalah RM35.5 bilion.

Akaun Hasil Yang Disatukan adalah salah satu daripada tiga tabung di bawah Akaun Wang Disatukan. Dua lagi tabung ialah Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan yang kesemuanya diselenggara oleh Akauntan Negara. – MalaysiaGazette