Keadaan suasana lengang di dalam pusat beli belah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kuasa beli semakin rendah akibat kesan membendung penularan wabak Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dalam keadaan negara berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangkan akibat Covid-19, kuasa beli rakyat sepatutnya ditingkatkan.

Melalui cara itu, ekonomi negara akan berkembang jelas Majlis Profesor Negara (MPN)  sekaligus membantu mengurangkan risiko pemberhentian pekerja di sektor tertentu.

Sehubungan itu MPN dalam satu kenyataan hari ini berpendirian kerajaan sepatutnya menerima cadangan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan wang daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dalam kontek ini, cadangan supaya KWSP membenarkan pencarum mengeluarkan secara one-off daripada akuan 1 dalam jumlah antara RM5,000 hingga RM10,000 amat dialu-alukan dan sepatutnya diterima oleh pihak kerajaan untuk dilaksanakan,” kata MPN menerusi kenyataan yang sama.

Selain itu pengeluaran wang caruman daripada akaun yang sama juga akan dapat membantu golongan yang diberhentikan pekerjaan akibat penularan Covid-19.

“Kepada pekerja yang diberhentikan seperti mereka yang terlibat dengan sektor pelancongan, penerbangan, perhotelan, pendidikan swasta dan lain-lain perkhidmatan yang terjejas teruk dengan krisis ekonomi, kemudahan tunai ini amat diperlukan untuk mereka memulakan kembali kegiatan bagi meneruskan kehidupan dan kesejahteraan mereka,” tambah MPN.

Untuk rekod, sebelum ini, pihak kerajaan telah memperkenalkan Skim i-Lestari KWSP di bawah pakej prihatan dimana dalam tempoh lima bulan dari April hingga Ogos 2020 di mana seramai 4.57 juta pencarum telah diluluskan untuk kerajaan yang membenarkan pengeluaran bulanan dari akaun 2 KWSP.

Jumlah pengeluaran iLestari adalah sebanyak RM7.48 bilion.

Demi melihat negara kembali pulih dari aspek ekonomi, kerajaan perlu memperhalusi cadangan yang sama, kata MPN.

“MPN melihat untuk negara kembali pulih daripada kemelut ekonomi pada masa akan datang, kerajaan perlu berjiwa besar dengan meneliti dan memperhalusi setiap cadangan dan idea yang diberikan tanpa mengira latar belakang politik.

“Fenomena yang luar biasa menuntut polisi dan kebijakan yang luar biasa, kepentingan rakyat dan kesejahteraan rakyat mesti diutamakan. Itulah norma baharu yang patut menjadi amalan kita,” kata MPN lagi. -MalaysiaGazette